NUBE kecam Standard Chartered saring semula pekerja, tanya soalan politik

j-solomon

PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) membantah Standard Chartered Bank (SCB) melakukan saringan semula ke atas pekerja-pekerjanya, termasuk bertanya soalan-soalan berunsur kecenderungan mereka dan ahli-ahli keluarga masing-masing.

Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon berkata, langkah SCB itu 1 tindakan tidak masuk akal dan bertujuan menceroboh privasi para pekerja, ahli keluarga dan orang ramai secara umum.

Katanya, terdapat soalan yang bertanya mengenai kecenderungan politik pekerja dan anggota keluarga terdekat mereka.

NUBE kata beliau, mendapati soalan di bahagian kecil yang bertajuk “Deklarasi: Mereka Yang Terdedah Kepada Politik” terlalu umum dan skopnya luas.

Katanya, NUBE pernah membantah tindakan seumpama itu tahun lalu dan pihak SCB didapati telah mengubah suai dan minda beberapa soalan.

“Pihak Bank meneruskan saringan semula pekerja mereka dengan set soalan yang baharu,” kata Solomon sambil menambah, pihaknya telah meneliti set soalan berkaitan dan mendapati tindakan bertanya soalan-soalan yang sensitif adalah satu tindakan yang tidak wajar.

Justeru kata beliau, NUBE telah meminta ahli-ahlinya berkata “tidak” kepada langkah SCB menjalankan saringan semula ini yang menceroboh privasi ahli-ahli NUBE.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Solomon berkata, oleh kerana setiap pekerja sudah pun disaring oleh pihak Bank semasa mereka diambil kerja, maka tidak ada sebab untuk proses saringan semula ke atas mereka.

“Oleh itu, tidak wujud keperluan untuk ahli-ahli menandatangani Surat Pensijilan Kendiri Pekerja,” kata beliau.

Dalam pada itu, katanya, soalan di subseksyen “Deklarasi: Hubungan Pelanggan” bertanya sama ada pekerja mempunyai sebarang anggota keluarga terdekat, yang ada hubungan perniagaan dengan Kumpulan SCB atau jika diambil kerja oleh mana-mana penggubal undang-undang.

Solomon menambah, NUBE berpendirian langkah SCB bertanya soalan-soalan seperti kecenderungan politik adalah keterlaluan dan menyentuh privasi ahli-ahli keluarga dan hubungan pelanggan mereka.

“Ia tindakan tidak beretika dan tidak wajar bagi Bank untuk mendesak ahli-ahli NUBE memberikan butiran sedemikian dan menandatangani borang deklarasi dimaksudkan.

“NUBE juga bimbang data peribadi ahli-ahli NUBE akan terdedah kepada pihak luar,” kata beliau yang juga Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia.

Kata beliau, NUBE juga sangsi langkah SCB ini mendapat kebenaran pihak berkuasa negara seperti Bank Negara Malaysia.

Jika pihak berkuasa khususnya Bank Negara Malaysia membenarkan langkah SCB, apakah jaminan perlindungan yang setiap pekerja ada di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi?”

“Nampaknya SCB bertindak begitu rupa untuk menceroboh privasi ahli-ahli NUBE. Bagi tujuan kemas kini borang maklumat peribadi terkini, kami tidak mempunyai bantahan.

“Kami berpendirian deklarasi ini melanggar undang-undang perlindungan data peribadi kerana persetujuan yang diberikan adalah sangat luas di mana bakal melantik penyedia perkhidmatan yang tidak diketahui, pegawai tempatan dan luar negara serta gabungan organisasi perniagaan.”