Penumpang penerbangan AirAsia berkata mimpi ngeri tidak berakhir

Jake-Marshall-and-Kelly-Sewell-air-asia-planePETALING JAYA: Pasangan British yang menaiki penerbangan AirAsia X D7207 yang mengalami masalah enjin pada 3 Julai lalu dilaporkan berkata mimpi ngeri mereka tidak berakhir selepas kejadian kerana mereka kehilangan bagasi dan terpaksa mengeluarkan belanja tambahan.

Jake Marshall dan Kelly Sewell, 25, dilaporkan portal Australia The New Daily pada Jumaat sebagai berkata mereka temui bagasi yang hilang selepas akhirnya mendarat di Hanoi, Vietnam.

Menurut laporan itu, mereka diberitahu bagasi ditemui pada Khamis, tetapi selepas menaiki teksi ke lapangan terbang itu, hanya menemui beg Marshall.

“Mereka tak tahu beg Kelly ada di mana,” katanya menurut laporan itu.

“Kami melakukan perkara yang sama selama lebih 30 jam dan rasa seperti AirAsia melayan kami seperti perkara menyusahkan yang akan hilang jika tidak diendahkan.”

Laporan itu berkata Sewell diberitahu pada Jumaat begnya ditemui di Kuala Lumpur dan akan tiba di Hanoi pada Sabtu.

Marshall dipetik sebagai berkata tambang pergi balik ke lapangan terbang menaiki teksi mencecah RM140, dan mereka perlu ke sana untuk mengambil bagasi Sewell.

Menurut New Daily, tangkap layar perbualan antara Marshall dan kakitangan AirAsia menunjukkan beliau berulangkali memohon bantuan.

“Kami diberitahu untuk ‘isu borang digital’ dan mereka akan memprosesnya untuk melihat sama ada kami akan dibayar,” katanya menurut laporan itu.

Penerbangan D7207 berlepas dari Gold Coast, Australia ke Kuala Lumpur pada 10.20 malam Isnin lalu tetapi terpaksa berpatah balik ke Brisbane selepas mengalami masalah enjin selepas berlepas.

Pesawat selamat mendarat di Brisbane pada 11.33 malam.

AirAsia X dalam kenyataan berkata penerbangan berpatah balik selepas disyaki enjin pesawat terlanggar burung. Menurut AirAsia 2 bangkai burung ditemui di landasan.

Penerbangan itu membawa 354 penumpang dan 14 anak kapal, dan syarikat penerbangan tambang murah itu akan membuat aturan sewajarnya.

Marshall dilaporkan berkata mereka merasakan di ambang kematian sebelum pesawat membuat pendaratan cemas.

“Saya duduk berdekatan dengan enjin dan pasrah,” katanya menurut laporan itu.

“Penumpang lain dalam keadaan histeria. Ada kebimbangan orang mungkin mengalami PTSD (kecelaruan stres pascatrauma), dan percutian kami hancur.”

Menurut laporan itu, penumpang ditempatkan semalaman di sebuah hotel sebelum dibawa menaiki penerbangan AirAsia D7689 ke Kuala Lumpur keesokannya malam.

Marshall mendakwa tiada komunikasi secukupnya daripada syarikat penerbangan dan penumpang menghabiskan masa berjam beratur menunggu penerbangan ganti. Mereka juga tidak tahu apa masalahnya, menurt laporan itu.

“Kami terima terima teks dengan butiran penerbangan baru, dan koc akan datang membawa kami ke sana. Kami terpaksa tanya Hotel Ibis pukul berapa koc akan tiba.

“Sebelum bertolak dari Brisbane, kapten memberitahu pesawat yang kami naiki pesawat berbeza, tetapi selain itu seolah-olah tidak ada apa yang berlaku,” katanya menurut laporan itu.

“Semua penumbang kelihatan gementar dan semua orang diam semasa berlepas.”

New Daily berkata mereka menghubungi AirAsia untuk mendapatkan komen.