Remaja retak tengkorak disamun selamat jalani pembedahan

syazana-amirah

KUALA LUMPUR: Remaja perempuan berusia 14 tahun yang mengalami retak di bahagian tengkorak, dipercayai akibat dipukul dalam satu kejadian samun di rumahnya di Kampung Masjid, Kajang kelmarin selamat menjalani pembedahan pagi tadi.

Ibu saudaranya Siti Haishah Mansor, 30, berkata, Syazana Amirah Asshaari selesai menjalani pembedahan di kepala selama lebih 7 jam bermula 4 pagi tadi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Siti Haishah yang ditemui Bernama di HKL hari ini, berkata Syazana Amirah yang dipanggil Nana belum sedarkan diri dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neurologi.

“Memang ini perbuatan di luar batasan dan saya terkejut dengan apa yang terjadi kepada Nana…kami mengharapkan orang ramai turut mendoakan Nana pulih dengan segera seperti biasa,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 11.15 pagi itu, Syazana Amirah ditemui ibunya Siti Rafiah Mansor, 48, dalam keadaan terbaring di atas katil dengan keadaan berlumuran darah serta kecederaan di kepala dan dagu.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kajang ACP Othman Nanyan berkata, pemeriksaan mendapati tengkorak mangsa di sebelah kiri dan kanan retak dipercayai dipukul dengan objek tumpul dan tajam.

Othman berkata, 2 unit telefon bimbit serta dompet milik mangsa juga dilaporkan hilang.