RoS perlu bebas, amal SOP jelas elak didakwa alat kerajaan

cenbet-ros-bendera-dap-1PETALING JAYA: Agensi-agensi kerajaan seperti Pendaftar Pertubuhan (RoS) perlu mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam membuat keputusan pentadbiran yang mempunyai implikasi politik bagi mengelak didakwa sebagai alat kepada kerajaan, kata Centre fo a Better Tomorrow (Cenbet) hari ini.

Simon Lim Seng Chai, ahli lembaga pengarah Cenbet berkata, arahan RoS kelmarin meminta DAP mengadakan semula pemilihan jawatankuasa eksekutif pusatnya (CEC) menimbulkan kecurigaan di kalangan rakyat yang menganggap adanya kerajaan campur tangan dalam keputusan agensi itu.

Beliau berkata, RoS dan agensi-agensi lain bukan sahaja harus bebas dan profesional dalam menjalankan tugas mereka, tetapi juga harus kelihatan bertindak sedemikian.

“Untuk berbuat demikian, penting bagi mereka mempunyai piagam pelanggan dan SOP, terutamanya mengenai keputusan yang sensitif terhadap politik, jika mereka belum ada prosedur sedemikian. Ini mesti dipatuhi dengan sangat ketat,” kata beliau,

Sebagai contoh, kata beliau, RoS harus menetapkan tempoh masa untuk memproses sebaik menerima aduan daripada anggota parti politik yang terkilan, kata beliau menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini.

“Birokrat juga harus membuat keputusan bebas daripada anggota pentadbiran, jika pun mereka hanya mendapatkan nasihat mereka,” kata Seng Chai.

Katanya, mematuhi piawaian SOP dan piawai pelanggan yang tepat dan telus, persepsi kononnya agensi sedemikian berada di bawah telunjuk Putrajaya boleh diketepikan.

Beliau berkata agensi itu tidak boleh dituduh menyeret kaki mereka untuk motif politik, sambil meningkatkan ketelusan dan tadbir urus yang baik.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, RoS perlu bertindak secara profesional dalam menangani pemilihan semula CEC DAP baharu yang sah dan telus bagi membolehkan perwakilan memilih 20 anggota yang sah dan diiktiraf.

Katanya, segala tindakan diserahkan kepada RoS yang diyakini bertindak berdasarkan kepada ruang lingkup yang terdapat dalam perlembagaan untuk menjaga anggota DAP.

“Saya ingin menyatakan bahawa RoS memang berjumpa dengan saya dan saya telah meminta beliau (ketua pengarah RoS) bertindak profesional dan jangan menggunakan emosi, jauh sekali menggunakan mana-mana pemikiran di luar kotak perlembagaan DAP sendiri dan Akta Pertubuhan 1966.

Ini kerana RoS adalah badan yang bertindak bagi menjaga mana-mana ahli pertubuhan termasuk pertubuhan politik kerana perlembagaan menjadi asas kepada parti politik atau pertubuhan berkenaan,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata pelantikan 20 anggota CEC DAP serta pemegang jawatan utama hasil pemilihan semula yang diadakan pada 29 September 2013 adalah tidak sah dari segi undang-undang.

Pemilihan semula yang diadakan itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012, iaitu yang melibatkan 2,576 perwakilan dari 865 buah cawangan.

Ini kerana hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf sahaja boleh melantik pemegang jawatan utama yang sah dan diiktiraf mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP.

Seng Chai berkata, orang ramai hairan mengapa RoS telah mengambil masa lebih 3 tahun sebelum meminta parti mengadakan pemilsemula.

Katanya, ia menjadi isu sangsi kerana baru-baru ini setiausaha akhbar kepada perdana menteri membangkitkan semula isu lama mengenai pemilihan CEC DAP.

Beliau berkata, Zahid juga berkata beliau ada bertemu dengan RoS berhubung perkara itu.

“Semua ini hanya memberi kepercayaan kepada naratif mengenai campur tangan politik,” kata beliau.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/07/jabatan-pendaftaran-arah-dap-adakan-pemilihan-semula/