Bapak ayam makin licik, gambar ‘pro’ pasarkan pelacur

photographer-model-on-bedPETALING JAYA: Sindiket pelacuran tempatan kini lebih profesional dengan mengupah jurugambar menghasilkan gambar ala “cover girl” untuk mempromosi pelacur mereka di media sosial pelanggan.

Metro Ahad semalam melaporkan sebuah premis spa mempunyai studio khas yang lengkap dengan peralatan fotografi berkualiti tinggi termasuk lampu studio dan katil.

Kewujudan studio itu terbongkar hasil serbuan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur diketuai Ketua Unit Risikan dan Operasinya Mohd Shahrulnizam Ismail di sebuah spa di Cheras, Khamis lalu.

“Jurugambar profesional ini mengambil gambar pelacur warga Vietnam dan Indonesia, sebelum gambar tersebut dihimpunkan di dalam album khas di laman sosial WeChat.

“Koleksi gambar yang dihasilkan itu bagi tujuan pemasaran kepada pelanggan tempatan dan menarik perhatian pelancong asing,” kata Shahrulnizam.

“Siasatan juga mendapati pemilik premis memberikan baucar khas diskaun RM20 kepada pelanggan yang datang mendapatkan khidmat pelacuran buat kali kedua,” kata Sahrulnizam dipetik harian itu.