E-Kad: 3,041 PATI, 57 majikan ditahan

Mustafar-Ali

PUTRAJAYA: Seramai 3,014 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 57 majikan ditahan Jabatan Imigresen dalam Op Mega E-kad sejak 1 Julai lepas hingga 8 pagi hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata sepanjang tempoh itu seramai 180 majikan turut diberi notis untuk hadir memberi keterangan.

Daripada keseluruhan PATI yang ditahan, 1,160 ialah warga Bangladesh, Indonesia (695), Myanmar (231), Vietnam (116), Thailand (111), Filipina (95) dan bakinya dari negara lain, katanya.

“Seramai 2,429 merupakan PATI lelaki, 570 perempuan dan 15 kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Secara keseluruhannya, beliau berkata 502 operasi penguatkuasaan dijalankan di seluruh negara dalam tempoh tersebut, melibatkan pemeriksaan terhadap 9,320 individu.

Mustafar berkata majikan yang dikesan menggaji PATI boleh diambil tindakan menerusi Akta Imigresen 1959/63 dan didakwa di bawah 4 kesalahan utama iaitu mengikut Seksyen 55A kerana membawa masuk PATI secara tidak sah, Seksyen 55B kerana menggaji PATI, Seksyen 55E kerana membenarkan PATI masuk dan tinggal di premis dan Seksyen 56 (1) (d) kerana kesalahan melindungi PATI.

Selain itu, majikan juga boleh didakwa di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010) jika terdapat elemen paksaan atau eksploitasi pekerja.

Beliau berkata Jabatan Imigresen terus komited dalam melancarkan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran bagi memburu majikan dan PATI yang ingkar terhadap perundangan negara bagi memastikan kedaulatan, keselamatan dan kesejahteraan negara terus terjamin.