Khairy diminta beri laluan kepada TMJ terajui TN50

kit-siang

PETALING JAYA: Lim Kit Siang hari ini mencadangkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin supaya memberi laluan kepada Tunku Makhota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menerajui Transformasi Nasional 2050 (TN50), pelan 30 tahun kerajaan untuk pembangunan negara.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu membuat seruan itu susulan surat terbuka putera mahkota Johor itu Sabtu lalu, yang meluahkan rasa dukacita dengan imej Malaysia yang tercalar dengan salah laku dan pemimpin rasuah, di samping mengkritik pelantikan seorang ahli politik tidak berpengalaman dalam sukan pada Sukan SEA akan datang.

“Ia telah menjadi tempat di mana ahli-ahli politik mahu menjadi selebriti dan ahli sukan. Di mana seseorang yang tidak boleh menunggang kuda atau bermain polo boleh dipilih untuk mewakili negara. Di mana individu yang tidak menjalani latihan ketenteraan yang sebenar boleh menjadi seorang jeneral,” tulis TMJ dalam kenyataan pedas yang dimuat naik di Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

Walaupun tidak menamakan sesiapa, Khairy, yang aktif dalam Askar Wataniah, baru-baru ini dilantik mewakili skuad polo negara untuk Sukan SEA di Kuala Lumpur.

TMJ antara lain menyatakan rasa sedih dengan ahli politik yang dibela walaupun terpalit rasuah, kemiskinan yang semakin merebak di kalangan rakyat, di samping penghakisan nilai dan budaya tradisi tempatan “kononnya ingin menjadi seperti orang Arab”.

“Sebuah negara di mana ramai individu ingin menjadi ahli politik untuk kepentingan peribadi mereka dan tidak lagi percaya kepada tugas untuk berkhidmat kepada rakyat dan institusi kita. Di mana Penafian dan kejahilan telah menjadi panduan hidup. Di mana penipu memperoleh lebih banyak kuasa. Di mana Kebenaran sering diabaikan dan pembohongan diiktiraf sebagai pengakuan,” tulis TMJ.

Lim berkata langkah pertama “menyelamatkan Malaysia” boleh diambil Khairy dengan menjemput TMJ memimpin TN50 “untuk memulihkan kehebatan dan visi Malaysia sebagai sebuah negara kelas dunia”.

“Malah, Kabinet perlu memanggil mesyuarat khas untuk memberi perhatian kepada luahan Tunku Makhota Johor,” kata Lim pada ceramah DAP di Seremban malam tadi.

Mei lalu, TMJ mempersoalkan Khairy kerana gagal sebagai menteri sukan tidak menghadiri perlawanan akhir Piala FA antara Kedah dan Pahang, sebaliknya sibuk dengan urusan program Askar Wataniah, pasukan di mana ketua Pemuda Umno itu diberi pangkat “brigadier-jeneral” 2 tahun lalu.

“Pada saya, sekiranya program Askar Wataniah lebih menjadi keutamaan, adalah lebih baik beliau menjadi askar Wataniah daripada menjadi menteri belia dan sukan,” kata TMJ selepas ketidakhadiran Khairy di Stadium Shah Alam.