‘Laporan defisit melebar tak berasas, bukan gambaran sebenar’

Mohd-Irwan-Serigar-malaysia-gdpPUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah menolak laporan berhubung defisit fiskal untuk 5 bulan pertama tahun ini melebar, dengan menyifatkannya tidak berasas dan tidak menunjukkan gambaran sebenar.

Beliau berkata, angka tepat – sama ada prestasi defisit negara lebih baik atau tidak berbanding tahun lalu – hanya dapat diperolehi pada akhir tahun, selepas semua faktor diambil kira.

“Mungkin pada bulan tertentu pendapatan berkurangan, tetapi ada juga bulan yang defisitnya jauh lebih kecil daripada sasaran.

“Ini adalah pengiraan untuk setahun dan kita sudah buat anggaran. Ada dividen yang masuk pada Jun atau Julai, misalnya (dividen) Petronas pada suku ke-2,” katanya pada majlis jamuan Aidilfitri Kementerian Kewangan hari ini.

Jumaat lalu, The Edge Financial Daily memetik Citi Research sebagai berkata, defisit fiskal bagi Januari hingga Mei tahun ini melebar kepada RM30.5 bilion, berbanding RM26 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Naib Presiden Citi Research, Kit Wei Zheng dilaporkan berkata, ia berpunca daripada penurunan kutipan cukai pendapatan petroleum dan peribadi, selain peningkatan perbelanjaan.

Mengulas lanjut, Irwan berkata, kerajaan bukan sahaja di landasan tepat bagi mengekalkan defisit fiskal 3% tahun ini, malah pendapatan kerajaan juga mungkin meningkat.

“Kerajaan akan mendapat dividen, selain sumber pendapatan lain seperti jualan tanah dan pengewangan aset kerajaan.

“Bagi Mei, nilai eksport meningkat 31.5% dan inflasi menurun daripada 4.4% kepada 3.9%. Rizab antarabangsa Bank Negara semakin kukuh. Maka, ekonomi negara bertambah baik. Kita mungkin akan ada belanjawan yang baik nanti.

“Jangan memainkan isu defisit fiskal melebar…tunggu sehingga Disember, kami akan tunjukkan angkanya,” katanya.