MTUC: Pencarum kurang dana, mengapa KWSP benarkan lagi pengeluaran?

halim-mansor-kwsp

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membantah langkah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan untuk menyelesaikan hutang pinjaman pendidikan, dengan berkata badan itu sendiri merungut rakyat Malaysia menghadapi kesempitan kewangan disebabkan kekurangan wang selepas bersara.

“KWSP sendiri sibuk menasihat agar kita mempunyai minimum simpanan sekurang-kurangnya RM150,000 hingga RM200,000,” kata Presiden MTUC, Abdul Halim Mansor kepada FMT.

“Apabila kita membuka ruang untuk pinjaman itu dikeluarkan daripada tabungan KWSP, implikasinya ialah pekerja ini tidak akan ada simpanan yang cukup di masa akan datang,” katanya.

Minggu lalu, KWSP berkata berkuat kuasa 21 Julai, pencarum boleh menggunakan simpanan Akaun 2 bagi menyelesaikan baki pinjaman pendidikan, tanpa mengira tarikh kuat kuasa perjanjian pinjaman pendidikan, menggantikan syarat semasa.

Sebelum ini, pengeluaran dana KWSP hanya untuk perjanjian pinjaman berkuat kuasa 1 April 2000 (bagi peringkat ijazah) dan 2 Januari 2001 (peringkat diploma).

Langkah itu membuka ruang kepada lebih 70,000 pencarum mengeluarkan simpanan mereka.

Halim berkata ia tidak memenuhi objektif KWSP iaitu memastikan pesara mempunyai wang cukup di hari tua.

“Kalau sudah tak ada simpanan untuk hari tua, apa akan jadi?” soalnya.

Sebelum ini, KWSP berkata seseorang pesara perlu mempunyai sekurang-kurangnya simpanan RM228,000 ketika bersara pada usia 55 tahun, mengambil kira jangka hayat purata 75 tahun.

Bagaimanapun, setakat 2015, sebanyak 65% daripada ahli KWSP yang berumur 54 tahun ke bawah mempunyai simpanan RM50,000 ke bawah.

Akaun KWSP dipecahkan kepada Akaun 1 dan 2, di mana akaun kedua boleh digunakan sebelum usia pesaraan bagi menyelesaikan pelbagai hutang termasuk pinjaman rumah, pendidikan, perubatan dan kos haji.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/05/kwsp-benar-pencarum-guna-akaun-2-selesai-baki-pinjaman-pendidikan/