PH akan bincang cara henti lantikan 2 hakim

nurul-izzah-hakim-negara-rausPUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan perbincangan minggu ini berhubung pelan tindakan untuk menghentikan pelantikan 2 pegawai kehakiman tertinggi bagi mengekalkan jawatan mereka, kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

“Kami akan berjumpa dan membincangkan tindakan lain yang boleh diambil, selain usul yang bakal difailkan ketua pembangkang di Dewan Rakyat pada akhir bulan ini,” katanya kepada FMT.

Nurul Izzah ditemui di Mahkamah Rayuan hari ini bagi mengikuti prosiding rayuan fitnah terhadapnya oleh National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail.

Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan NFCorp dan Salleh untuk menyaman PKR dan Nurul Izzah berhubung tuduhan menyalah guna dana dalam pembelian 8 unit hartanah di KL Eco City.

Nurul Izzah yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, lanjutan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin adalah serangan serius terhadap kebebasan badan kehakiman serta doktrin pemisahan kuasa.

“Kenapa pelantikan itu dibuat dengan cara itu,” soalnya.

Ketua pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerusi kenyataan pada Sabtu berkata, PH akan merayu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk “mengambil pendirian tegas” susulan protes daripada bekas hakim dan peguam kanan terhadap tindakan Putrajaya melanjutkan perkhidmatan Raus dan Zulkefli.

Dr Wan Azizah akan mengemukakan 1 usul di Dewan Rakyat bagi mendesak lanjutan itu dibatalkan.

Semalam, Amanah berkata, parti itu akan memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan terhadap pelantikan dan lanjutan itu.

Nurul Izzah berkata, PH akan menyokong rancangan Amanah itu.

Jumaat lalu, pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Raus akan terus memegang jawatan ketua hakim negara selama 3 tahun lagi mulai 4 Ogos ini, manakala Zulkefli terus berkhidmat sebagai presiden Mahkamah Rayuan untuk 2 tahun lagi, mulai 28 September.

Raus dijadualkan bersara pada 3 Ogos ini dan Zulkefli pada 27 September, apabila usia mencecah 66 tahun dan 6 bulan, maksimum umur persaraan untuk hakim.

Putrajaya berkata, pelantikan Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan dibuat berdasarkan cadangan dan nasihat bekas ketua hakim negara, Tun Arifin Zakaria kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Mac lalu, sebelum beliau bersara.

Perkhidmatan mereka sebagai ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan dilanjutkan di bawah Fasal 1 Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Menurut kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-raja yang bersidang pada 24 dan 25 Mei lalu, memperkenankan kedua-dua pelantikan itu.

Bekas ketua hakim negara, Datuk Abdul Hamid Mohamad secara terbuka menasihatkan lanjutan perkhidmatan Raus tidak berperlembagaan.

Pandangan sama disuarakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim dan Presiden Majlis Peguam, George Varughese.