PKR dakwa BN salah guna ISA, Sosma sekat kebebasan politik

nurul-izzah-sosmaPETALING JAYA: PKR mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) menyalahgunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) untuk menyekat kebebasan berpolitik, bukannya memerangi keganasan di negara ini.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, sejak Sosma diperkenalkan 5 tahun lalu, seramai 979 orang ditahan di bawah akta itu.

“Daripada jumlah itu, hanya 177 orang sahaja yang ditahan di negara ini kerana kaitannya dengan IS. Saya percaya jumlah itu adalah sebahagian daripada 43 warga asing ditahan kerana kaitan mereka dengan IS seperti mana diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Hakikat ini bermakna hampir 800 orang yang ditahan tidak ada kaitan dengan IS. Mereka adalah penggiat dan aktivis demokrasi yang berjuang memerangi salah laku kerajaan dan rasuah.

“Maka, terbukti gerak kerja kerajaan Umno/BN lebih tertumpu untuk melumpuhkan demokrasi di negara ini, bukannya memerangi keganasan dengan sepenuh hati,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai membalas kenyataan penuh sinis menteri pertahanan yang mendakwa Pakatan Harapan tidak mampu menghalang pengaruh IS dan aktiviti keganasan di Malaysia, jika mereka memerintah negara ini kelak.

Semalam, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan menasihati rakyat memilih parti yang mampu berdepan ancaman pengganas dan hanya BN mempunyai pengalaman berdepan pengganas dan menangani keganasan.

“Malangnya pembangkang tidak ada pengalaman. Mereka tidak ada hala tuju dan wawasan untuk memimpin masyarakat yang cukup kompleks dari segi kepelbagaian kaum dan agama,” kata Hishammuddin.

Nurul Izzah yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai mempersoalkan bagaimana Hishammuddin boleh mendabik dada mengakui kerajaan mampu melawan ancaman IS dengan berkesan, sedangkan fakta sebenar menunjukkan umat Islam negara ini 6 kali ganda lebih ramai daripada warganegara Indonesia yang menyertai IS.

“Saya sekali lagi menantikan detik dan ketikanya Hishammuddin menjemput kami di barisan pembangkang untuk menyertai Jawatankuasa Pilihan Pertahanan dan Keselamatan, yang saya cadangkan sendiri kepada Hishammuddin selaku menteri pertahanan – permohonan yang belum berjawab oleh individu yang mendabik dada mengakui amat mengutamakan keselamatan negara.”

IS musuh utama Umno, bukan Rafizi atau Azmin Ali, kata Hishammuddin