SPRM tahan pegawai kanan dewan perniagaan Perak

macc-arrest-1

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang pegawai kanan sebuah dewan perniagaan di Perak yang disyaki terlibat rasuah.

Menurut sumber, suspek berusia 47 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, sekitar 4 petang tadi.

“Ketika ini, siasatan yang dibuat menjurus kepada pendakwaan satu kes rasuah di mahkamah.

“Kes tersebut melibatkan projek memajukan tanah di sebuah lokasi di Perak serta pembekalan bahan binaan pada 2014,” kata sumber itu.

Menurut sumber itu, setakat ini, SPRM belum melakukan sebarang rampasan melibatkan suspek.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

“SPRM dalam proses merakam percakapan suspek sebelum tindakan lanjut diambil dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Putrajaya esok untuk direman,” katanya.