7 disyaki pengganas Maute dipintas sebelum sempat ke KL

Southeast-Asia-will-soon-become-major-target-of-terrorPETALING JAYA: Pihak berkuasa Filipina sempat memintas dan menghalang 7 orang disyaki ahli pengganas Maute yang mempunyai kaitan dengan IS dari menaiki pesawat ke Kuala Lumpur semalam.

Menurut portal Filipina Business World Online, pegawai imigresen menghalang mereka sebelum menaiki penerbangan Cebu Pacific di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila.

Ia memetik setiausaha rendah Jabatan Kehakiman Filipina Erickson H Balmes sebagai berkata 4 daripada mereka akan diserahkan kepada polis dan Biro Siasatan Nasional Filipina.

Memetik laporan dari biro imigresen, beliau berkata 4 individu itu dikenali sebagai Alnizar Palawan Maute, Abdulrahman Maute, Yasser Dumaraya Maute dan Ashary Palawan Maute.

Beliau dipetik sebagai berkata siasatan lanjut dan pengesahan identiti akan dijalankan.

Laporan Business World Online juga memetik beliau sebagai berkata 3 individu lagi dilepaskan “selepas mendapati rekod bersih di bawah nama mereka.

Mereka dinamakan sebagai Mawiyag Ibrahim Cota, Acmali A Mawiyag dan Abdulcahar Racman Maute.

Kumpulan Maute melancarkan serangan di Marawi, Mindanao sejak 23 Mei, dalam usaha menawan bandar itu dan menjadikannya kubu militan Islam.

Keganasan yang diikuti dengan pengeboman itu menyebabkan puluhan ribu penduduk melarikan diri dari bandar itu.

Tentera Filipina mengumumkan mereka berjaya menewaskan militan walaupun terdapat laporan mengatakan ratusan militan Islam masih berkubu di beberapa bangunan di bandar itu.

Kumpulan itu dilaporkan disertai individu dari Malaysia dan Indonesia yang menyertai mereka mengangkat senjata demi menubuhkan tapak serantau untuk militan Islam.

Maute, yang dianggotai bekas gerila Barisan Pembebasan Islam Moro dan pejuang asing, berikrar kepada gerakan IS yang kebelakangan ini mengalami kekalahan di Syria dan Iraq.

Dilaporkan Malaysia dikenalpasti penyokong IS sebagai sebahagian dari Wilayah Asia Timur, bersama Singapura, Indonesia, Filipina, selatan Thailand, Myanmar dan Jepun.

Polis Malaysia menangkap lebih seratus orang disyaki militan IS dan penyokong mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada Januari, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dipetik sebagai berkata 122 suspek sudah didakwa dan polis berjaya mendapatkan 62 pensabitan.

Beliau berkata 38 disyaki militan atau penyokong ditahan dibawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) dan 18 di bawah Akta Pencegahan Keganasan (Pota). Beliau berkata polis sedar 60 warga Malaysia berada di Syria bertempur untuk kumpulan Islam.

Pada Februari, polis menangkap 6 warga asing dan seorang rakyat Malaysia disyaki terbabit dalam kumpulan pengganas Islam.

Serangan bom tangan di Puchong Jun tahun lalu mencederakan 8 orang, dan IS mengaku bertanggungjawab. Ia merupakan serangan IS pertama di Malaysia.