Adakah sebatan lemahkan sistem imun Thaqif, soal PAGE

Noor-Azimah-thaqiiifPETALING JAYA: Sebuah kumpulan pendidikan menyeru pihak berkuasa menyiasat sama ada hukuman sebat ke atas Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi melemahkan sistem imunnya sehingga memburukkan kesihatannya, susulan hasil bedah siasat mendapati pelajar tahfiz itu meninggal dunia disebabkan leptospirosis atau jangkitan kencing tikus.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata pihak berkuasa tidak boleh menolak kemungkinan keadaan kesihatan Thaqif menjadi lebih buruk disebabkan sebatan yang diterimanya.

“Dia mungkin meninggal dunia akibat leptospirosis, tetapi apa yang terjadi sebelum itu tidak boleh diabaikan kerana ada bukti dia dipukul dengan teruk,” katanya kepada FMT.

Semalam, hampir 3 bulan selepas Thaqif meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, laporan bedah siasat Kementerian Kesihatan merumuskan punca kematian adalah leptospirosis atau kencing tikus, dan bukannya trauma akibat pukulan oleh seorang pembantu warden.

Thaqif dimasukkan ke hospital pada 19 April selepas pembantu warden asrama Madrasah Tahfiz Al-Jauhar di Kampung Lukut, Kota Tinggi didakwa memukulnya dengan paip getah.

Kedua-dua kakinya terpaksa dipotong selepas mengalami pembekuan darah, sementara tangan kirinya dijadualkan dipotong sebelum kanak-kanak itu menghembuskan nafas terakhir pada 26 April.

Dalam reaksinya, ibu Thaqif, Felda Wani Ahmad menolak hasil bedah siasat itu, sambil mempersoalkan mengapa kaki anaknya dipotong jika betul Thaqif dijangkiti kencing tikus yang boleh dikesan dengan awal.

“Secara logik, kalau kencing tikus, kenapa nak potong kaki? Saya nak tanya kenapa nak potong kaki anak saya kalau kencing tikus. Kencing tikus mesti kesan awal. Paling lewat 1 atau 2 minggu, macam kes di Kelantan baru-baru ini,” kata Felda Wani kepada FMT.

Noor Azimah turut terkilan dengan laporan itu, dan membangkitkan isu kaki Thaqif yang dipotong.

“Hakikat kaki dia dipotong turut menimbulkan keraguan. Dalam banyak kematian membabitkan leptospirosis yang saya tahu, mangsa menjadi koma dan meninggal dunia.”

Beliau mempersoalkan sama ada dakwaan sebatan ke atas Thaqif mengurangkan peluangnya untuk terselamat daripada jangkitan kencing tikus.

“Bukan semua orang yang dijangkiti leptospirosis akan mati, khasnya apabila mereka mendapat rawatan segera. Saya kenal pesakit yang berjaya melaluinya.

“Saya tertanya-tanya jika sebatan menjejaskan sistem imunnya dan memburukkan keadaan. Ini semua spekulasi, tetapi itu sebabnya pihak berkuasa perlu menyiasat perkara ini dan tidak mengabaikan kemungkinan ini.”

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Ravindran R Naidu memberitahu FMT sebatan boleh menimbulkan tekanan yang seterusnya menyebabkan sistem imun menjadi lemah.

“Sistem imun anda tidak menjadi lemah melalui sebatan secara langsung, tetapi tekanan boleh melemahkan ketahanan badan. Juga jika orang yang dipukul itu terlantar sakit di katil, ia lebih mudah mendapat jangkitan.”

Semalam, Pengetua Madrasah Tahfiz Al-Jauhar, Mohammad Afdhaluddin Ismail “tidak dapat menjawab” bagaimana bekas pelajarnya boleh dijangkiti kencing tikus kerana Thaqif dimasukkan ke hospital 21 hari selepas berhenti daripada madrasah itu.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Thaqif dijangkiti kencing tikus dari kawasan madrasah.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/highlight/2017/07/10/thaqif-meninggal-akibat-kencing-tikus-kata-laporan-bedah-siasat/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/10/sekolah-tak-pasti-dari-mana-thaqif-dijangkiti-penyakit-kencing-tikus/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/10/ibu-thaqif-tolak-hasil-bedah-siasat/