Boikot Edra: Kenapa takut sangat, soal Rafizi

rafizi-ramli-edra-power-plantPETALING JAYA: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mempertikaikan mengapa menteri Umno bersikap “defensif” terhadap seruan menggesa pelabur institusi dana awam memboikot tawaran awam awal (IPO) Edra Power Holdings Sdn Bhd (Edra Power), bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam kenyataan pada Selasa, beliau menamakan beberapa pelabur tersebut iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Permodalan Nasional Bhd (PNB), Khazanah dan Mara.

Rafizi berkata pelabur berkenaan perlu mengelakkan IPO itu agar orang ramai terperangkap buat kali kedua dalam skandal 1MDB.

Seruan itu mengundangkan kritikan keesokan harinya daripada menteri Umno Datuk Rahman Dahlan yang berkata seruan boikot itu boleh diertikan sebagai “sabotaj ekonomi”.

Awal hari ini, Ahli Parlimen Setiawangsa Datuk Fauzi Zahari dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Ghani turut membidas Rafizi. Bernama memetik Fauzi sebagai berkata seruan itu tidak masuk akal dan bermotif politik, sementara Johari berkata syarikat kerajaan dan firma pelaburan bebas membuat keputusan.

Rafizi bagaimanapun mendakwa tindakan panik pengkritiknya itu bermakna mereka tidak yakin IPO akan terjual tanpa bantuan pelaburan institusi dana awam.

Dalam siaran langsung di Facebook hari ini, Rafizi berkata ia berbeza dengan keadaan sebelum ini di mana BN berkata Edra aset bernilai yang akan meningkat harga.

“Kalau betul ia bernilai, bukankah lebih baik kalau bekas syarikat anak 1MDB ini disenaraikan di New York, London atau Singapura yang lebih ramai orang yang kaya yang beli saham berbanding Kuala Lumpur? Yang besar di Kuala Lumpur ialah dana-dana awam,” katanya.

“Gelagat menteri-menteri Umno dan media Umno mengenai penyeneraian Edra sudah cukup yakinkan kita tindakan boikot adalah betul supaya rakyat tak terbeban.”

Sebelum ini, Rafizi berkata penyenaraian Edra Power di Bursa Malaysia untuk meraih RM5 bilion mesti diberi perhatian serius.

Beliau menambah jika dana pelaburan atau dana milik rakyat memberi tawaran saham Edra, ia samalah seperti “rakyat yang menanggung hutang 1MDB buat kali ke-2”.

Bagaimanapun, Rahman berkata penjimatan dari kadar Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) kepada Tenaga Nasional Berhad dan subsidi gas Petronas dijangka RM200 bilion dalam 20 tahun akan datang.

Rafizi hari ini mendedahkan beliau akan mengadakan kempen di media sosial di mana mereka yang menyokong seruan memboikot IPO itu boleh menandatangani petisyen yang akan diberikan kepada pelabur institusi dana awam.

“Mereka sebagai eksekutif dibayar puluh puluh ribu dan ada amanah mereka pikul. Saya harap dengan kumpulan suara ini, eksekutif-eksekutif di dana awam lebih takut dengan suara rakyat daripada mereka mengikuti arahan-arahan dari Putrajaya kelak.”

Edra Power merupakan nama baharu bagi Edra Global Energy Bhd (Edra Energy) yang dilaporkan sebelum ini.

Rahman Dahlan: Gesaan boikot IPO Edra Energy ‘sabotaj ekonomi’

Rafizi persoal mengapa harga elektrik belum turun kalau benar pelaburan Edra berjaya