Di sebalik kritikan, gabungan tahfiz puas hati laporan bedah siasat Thaqif

Mohd-Thaqif-Amin_sekolah_pinta_600

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta) yang mewakili sekolah tahfiz seluruh negara hari ini mengalu-alukan laporan bedah siasat kematian Mohammad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, walaupun ia ditolak keluarga pelajar tahfiz itu dan dipersoalkan pelbagai pihak.

“Semoga segala tuduhan dan persepsi negatif yang ditanggung oleh pihak madrasah dan pembantu warden selama ini dapat diperbetulkan dengan sebaiknya,” kata Presiden Pinta, Mohd Zahid Mahmood dalam kenyataannya.

Beliau merujuk Madrasah Tahfiz Al-Jauhar (MTAJ) yang dihadiri Thaqif sebelum kematiannya pada 26 April, dan seorang pembantu warden yang ditahan untuk siasatan susulan dakwaan pelajar berusia 11 tahun itu disebat sehingga menyebabkan kecederaan di kakinya.

Semalam, hampir 3 bulan selepas kematian Thaqif mengejutkan negara, Kementerian Kesihatan berkata leptospirosis atau kencing tikus, dan bukannya trauma daripada pukulan, merupakan punca Thaqif mendapat jangkitan pada kulit dan darah sebelum meninggal dunia.

Zahid sebelum ini mempertahankan pihak madrasah daripada tuduhan bertanggungjawab atas kematian Thaqif, sambil mempersoalkan kelewatan laporan bedah siasat yang menurutnya mengundang pelbagai spekulasi terhadap sekolah tahfiz.

Thaqif meninggal dunia seminggu selepas dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru pada April lalu, kerana mengalami pembekuan darah.

Sebelum kematiannya, doktor terpaksa menjalankan pembedahan memotong kakinya kerana jangkitan bakteria, dan menunggu pembedahan untuk memotong lengannya.

Ibu Thaqif membuat laporan polis mendakwa anaknya dirotan di tapak kaki dengan paip getah.

Susulan laporan semalam, Zahid berharap ia “mengurai semua persoalan yang timbul berkaitan kematian” Thaqif dan dibebaskan daripada siasatan polis.

Beberapa pihak termasuk keluarga Thaqif mempersoalkan laporan bedah siasat itu.

Ibu Thaqif, Felda Wani Ahmad berkata mempersoalkan jika benar anaknya dijangkiti kencing tikus, ia boleh dikesan awal.

“Secara logik, kalau kencing tikus, kenapa nak potong kaki? Saya nak tanya kenapa nak potong kaki anak saya kalau kencing tikus. Kencing tikus mesti kesan awal. Paling lewat 1 atau 2 minggu, macam kes di Kelantan baru-baru ini,” katanya kepada FMT semalam.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata pihak berkuasa tidak boleh menolak kemungkinan keadaan kesihatan Thaqif menjadi lebih buruk disebabkan sebatan yang diterimanya.

“Dia mungkin meninggal dunia akibat leptospirosis, tetapi apa yang terjadi sebelum itu tidak boleh diabaikan kerana ada bukti dia dipukul dengan teruk,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/highlight/2017/07/10/thaqif-meninggal-akibat-kencing-tikus-kata-laporan-bedah-siasat/