Filem gay: Kerajaan P Pinang akan bertemu pengurusan teater

Malik-Kassim-gay-moviieGEORGE TOWN: Pegawai kerajaan Pulau Pinang akan bertemu pengurusan sebuah teater seni untuk mendapatkan penjelasan mengenai rancangan menayangkan sebuah filem homoseksual.

Exco Abdul Malik Kassim berkata surat rasmi sudah dihantar kepada Pusat Seni Persembangan Pulau Pinang (penangpac).

“Walaupun penanpac milik swasta dan tiada kaitan dengan kerajaan negeri, saya selaku exco hal ehwal agama mahu bertemu pihak pengurusan untuk membincangkan perkara itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penangpac pada awalnya merancang menayangkan “Hot Boy Noi Loan va Cau Chuyen ve Thang Cuoi”, sebuah kisah mengenai 2 lelaki homoseksual.

Filem itu mendapat pujian hebat walaupun pengkritik Hollywood Reporter, David Rooney menyifatkannya sebagai “berkualiti tinggi tetapi hambar dan penuh dengan klise”.

Poster tayangan percuma dimuatnaik di Facebook sebagai sebahagian kempen “Filem Terbaik Dunia”.

Ia sepatutnya ditayangkan pada 8.00 malam hari ini, dan hanya orang dewasa dibenarkan menonton filem itu.

Bagaimanapun, selepas berita mengenai penayangan filem itu menjadi tular di Facebook, penangpac mengumumkan penayangan filem itu dibatalkan.

“Atas sebab yang tidak dielakkan, filem yang dijadualkan untuk tontonan kini diganti.

“Pengurusan kami berkata filem itu tidak sesuai untuk penayangan kerana isu sensitif. Jadi kami memutuskan untuk menggantikannya,” menurut status Facebook Penangpac yang dikemas kini itu.

Satu bantahan terhadap tayangan filem itu, dipercayai anjuran sebuah kumpulan Islam, akan diadakan pada 8.00 malam di Straits Quay, Tanjung Tokong, tempat dimana terletaknya penangpac.