Kastam akan umum punca tangguh cukai pelancongan

Subromanim3251

PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan mendedahkan alasan di sebalik pelaksanaan cukai pelancongan yang terpaksa ditangguhkan sehingga 1 Ogos ini.

“Kita dah sebut tadi akan ada pengumuman nanti. Tunggulah. Kita tak tahu, tetapi dalam masa terdekat,” kata Ketua Pengarah Kastam, Datuk Subromaniam Tholasy pada sidang media di JKDM hari ini.

Beliau mengulas penangguhan cukai baharu pada kadar RM2.50 hingga RM20 untuk penginapan semalaman yang diumumkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz pada 27 Jun lalu.

Nazri dilaporkan berkata, penangguhan itu disebabkan sistem cukai pelancongan yang belum bersiap sedia sepenuhnya.

Pada 6 Julai lalu, Nazri mengumumkan kerajaan akan mengecualikan cukai pelancongan bagi bilik yang sudah ditempah melalui pengusaha pelancongan sehingga Mac 2018.

Beliau turut mengesahkan rakyat Malaysia yang menginap di hotel bertaraf 3 bintang dan ke bawah dikecualikan daripada cukai pelancongan.

Pelaksanaan cukai pelancongan yang dipersoalkan banyak pihak, terutamanya Sarawak dan Sabah sepatutnya mula dikuatkuasakan 1 Julai lalu, selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Cukai Pelancongan 2017 pada April lalu.

Dalam perkembangan lain, Subromaniam berkata, JKDM memberi tumpuan kepada 4 negeri di mana pegawainya berpotensi diganggu sindiket dan tonto.

Beliau menganggarkan 40% ancaman diterima pegawai JKDM setiap tahun.

Statistik menunjukkan sebanyak 150 kes ugutan atau ancaman diterima pegawai kastam ketika menjalankan tugas rasmi dari 2013 hingga 2016.

“Sehubungan itu, Jabatan Kastam menyerahkan 80 kenderaan jenama Isuzu D-Max 3.0 yang baharu untuk kegunaan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam di seluruh negara.

“Diharapkan penyerahan kereta baharu ini dapat melindungi pegawai kastam yang bertugas serta mengurangkan kes ugutan atau ancaman yang dihadapi pegawai,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/27/cukai-pelancongan-ditangguh-1-ogos-kata-nazri/