Kematian Thaqif bukan lagi kes bunuh, kata polis

Noor-Rashid-Ibrahim-thaqifKUALA LUMPUR: Polis tidak akan mengenakan tuduhan bunuh dalam kes kematian pelajar sekolah tahfiz Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi yang maut selepas didakwa dipukul pembantu warden sekolahnya.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim polis akan menurunkan tuduhan terhadap pembantu warden Madrasah Tahfiz Al-Jauhar, Kota Tinggi dari bunuh kepada mendatangkan kecederaan, berdasarkan kepada laporan bedah siasat Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

“Sebab kematian disebabkan jangkitan leptospirosis atau kencing tikus. Maka sudah semestinya kita tidak dapat mendakwa di bawah kes bunuh. Kita akan rujuk cadangan menurunkan seksyen itu kepada mencadangkan cedera dengan timbalan pendakwa raya,” katanya kepada pemberita di Bukit Aman hari ini.

Noor Rashid menambah polis akan pastikan siasatan kes kematian kanak-kanak 11 tahun itu disiapkan dan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dalam minggu ini.

“Kita akan pastikan inkues dijalankan di mahkamah terbuka supaya orang boleh dengar,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata laporan bedah siasat merumuskan leptospirosis menjadi punca kematian Thaqif, yang dirumitkan dengan keadaan kulit nekrosis (purpura fulminans) dan pembentukan bekuan darah mikro (microthrombi) di seluruh saluran darah, dan bukannya akibat cedera dipukul.

Kubur Thaqif digali semula pada 18 Mei untuk diambil sampel bagi bedah siasat kedua oleh HSI, selepas keluarga mendakwa belum menerima sebarang laporan bertulis berhubung prosedur rawatan dan pembedahan sepanjang Thaqif ditempatkn di HSI.

Semalam, ibu mangsa Felda Wani Ahmad berkata pihaknya terkilan dengan perkembangan ini dan mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena.

“Kalau kencing tikus, kenapa nak potong kaki?” katanya ketika dihubungi FMT. “Kencing tikus mesti kesan awal. Paling lewat 1 atau 2 minggu, macam kes di Kelantan baru-baru ini.”

“Saya ni cikgu. Tidak payah manipulasi yang bukan-bukan. Daripada arwah masuk hospital, doktor kata tak tahu kuman apa. Ini tiba-tiba beritahu kencing tikus. Tak masuk akal.”

Pembantu warden terbabit ditahan di rumahnya di Felda Lok Heng Barat pada 22 April selepas ibu mangsa membuat laporan polis. Pembantu warden ditahan reman selama 4 hari sejak 23 April dan dibebaskan dengan jaminan bon di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah sebanyak RM20,000.

Sekolah ‘tak pasti’ dari mana Thaqif dijangkiti penyakit kencing tikus

Thaqif meninggal akibat kencing tikus, kata laporan bedah siasat

Ibu Thaqif tolak hasil bedah siasat