MAHB: Mesin serah bagasi KLIA, klia2 di peringkat akhir

mahb-luggage

PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjelaskan pemasangan mesin penyerahan bagasi automatik atau auto bag-drop (ABD) di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan klia2 kini dalam peringkat penyelesaian terakhir.

Kenyataan itu dimuat naik MAHB ke Facebooknya semalam sebagai menjawab kritikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes yang mendakwa MAHB gagal menepati janji menyediakan 30 mesin ABD menjelang bulan ini.

MAHB berkata, perbincangan dengan syarikat penerbangan utama berjalan lancar dan mereka sedang merangka satu pelan pelaksanaan ABD berdasarkan penggunaan syarikat penerbangan.

“Perbincangan berterusan dengan syarikat penerbangan utama berjalan lancar. Perbincangan terbaru dengan AirAsia diadakan minggu lalu.

“Kami kini di peringkat penyelesaian terakhir di mana beberapa butiran operasi sedang dimuktamadkan, seperti menyelaraskan unjuran pertumbuhan bagi memastikan penggunaan ABD secara optimum dan berkesan di KLIA dan klia2.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan semua syarikat penerbangan untuk mengukuhkan kedudukan KLIA sebagai hab pilihan di rantau ini.”

Ahad lalu, Fernandes menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap MAHB dengan berkata, syarikat itu gagal mengotakan janji memasang 30 mesin ABD kerana kekurangan dana.

Beliau kemudiannya memuji “kehebatan” dan “kerajinan” pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor.

“Kami perlukan lebih banyak Lapangan Terbang Senai di Malaysia. Lahirkan lebih ramai usahawan. Lebih banyak kegiatan ekonomi.

“Harap pengerusi baharu (Tan Sri Syed Zainol Anwar Syed Putra Jamalullail) dan Azli (Mohamed yang merupakan ketua pegawai strategi MAHB) akan menyelesaikan masalah ini. Mavcom telah gagal,” tulis Fernandes di Facebooknya.