Najib: Pelan Tindakan Masyarakat India bukan khayalan

najib-mib2DENGKIL: Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) bukan sekadar khayalan atau omongan kosong tetapi kenyataan untuk kesejahteraan masyarakat India di negara ini, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana menteri berkata kerajaan akan memastikan pelan hala tuju yang dirangka memberi manfaat sepenuhnya kepada masyarakat India sekaligus memperkasakan keyakinan mereka terhadap kerajaan.

“Pelan ini bukanlah sekadar khayalan, ‘vetti pecchi’ atau omongan kosong sebaliknya pelan ini adalah ‘nijjam’ atau kenyataan iaitu pelan realiti pertama sebagai tindakan menyejahterakan masyarakat India.

“MIB ialah platform biak untuk mencapai kepemimpinan masyarakat India yang lebih kuat dan bersepadu,”kata Najib ketika berucap pada Majlis Menyemat Plak dan Pelancaran Buku Kegemilangan 200 Tahun Pendidikan Tamil di Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Permata hari Ini.

Pada 23 April lepas, Najib melancarkan MIB sebagai dokumen rasmi kerajaan untuk pembangunan komuniti itu di negara ini untuk tempoh 10 tahun akan datang.

“Sebaik sahaja anda bersatu, sebaik sahaja anda mempunyai pemimpin yang dapat menyatukan kumpulan kecil atau kumpulan, dengan itu saya yakin masyarakat India akan menjadi lebih kuat di masa depan. Perlu ada usaha untuk menyatukan masyarakat India,” katanya.

Perdana menteri turut menggalakkan masyarakat India untuk terus mencapai kecemerlangan tinggi dalam menimba ilmu dan pendidikan.

Katanya tidak ada senjata berkesan untuk mengubah kaum kecuali menggalakkan kaum itu capai pencapaian tinggi dalam ilmu pendidikan.