PAS bidas Zaid: Memang tugas Jakim nasihat umat Islam

 

Tuan-Ibrahim_-Zaid-Ibrahim_jakim_600PETALING JAYA: PAS menyelar kritikan Datuk Zaid Ibrahim terhadap Pengarah Jakim Tan Sri Othman Mustapha semalam dengan berkata ahli DAP itu tidak sepatutnya pertikai usaha pihak berkuasa mempertahankan kesucian Islam.

Sinar Harian melaporkan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Zaid tidak sepatutnya mempertikaikan kenyataan dan pandangan Jakim kerana badan itu ditugaskan untuk memperjuangkan agama.

“Sepatutnya Zaid tidak komplen Jakim, komplen orang yang melanggar peraturan tersebut. Saya fikir kenyataan dikeluarkan Jakim ialah kenyataan cukup ilmiah dan bukan emosi,” kata Tuan Ibrahim sambil menambah apa yang dikatakan Othman itu betul dan memang dalam skop tanggungjawabnya.

Semalam, Zaid melalui catatan blognya membidas Othman kerana mengkritik seorang wanita Islam yang meminati anjing sebagai binatang peliharaan.

Zaid berkata kenyataan pengarah Jakim itu mencerminkan masalah dalam kalangan pemimpin Islam di Malaysia, di mana mereka suka bercakap mengenai dosa orang lain sepanjang masa, bukannya dosa sendiri.

“Othman sepatutnya mengambil berat tentang dosanya, bukan dosa orang lain. Tiada seorang pun boleh dianggap sebagai malaikat hanya kerana memegang jawatan ketua pengarah Jakim atau jika seseorang itu melayani perdana menteri dengan baik.

Terdahulu, Othman mengkritik Nurhanizah Abdul Rahman yang memuat naik video di Facebook menceritakan anjing peliharaannya bernama Bubu.

Beliau berkata umat Islam negara ini tidak sepatutnya menjadikan budaya baharu memegang anjing dan mereka perlu bertaubat dengan perbuatan mereka itu.

“Perbuatan seumpama itu akan menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam kerana ia bercanggah pegangan mazhab Syafie serta adat masyarakat Islam tempatan,” kata Othman.

Sibuk ‘dosa’ orang, kamu bagaimana, Zaid beritahu pengarah Jakim

Jakim: Jangan jadikan perbuatan pegang anjing budaya baharu