Pembantu warden sekolah Thaqif masih digantung tugas

Mohammad-Afdhaluddin-IsmailKOTA TINGGI: Pembantu warden Madrasah Tahfiz Al Jauhar, tempat Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi belajar, masih digantung tugas dan statusnya hanya akan ditentukan selepas selesai siasatan polis.

Pengetua madrasah itu Mohammad Afdhaluddin Ismail berkata pembantu warden berkenaan digantung tugas sejak 21 April hingga kini.

Beliau berkata pihaknya tidak tahu mengenai rekod jenayah lampau pembantu warden itu, yang pada mulanya diambil sebagai penyelia kebersihan di madrasah berkenaan.

“Bagaimanapun sepanjang 9 bulan dia bekerja, kita dapati tiada kesalahan yang dilakukan. Malah, kita juga lantik dia sebagai pembantu warden untuk membantu warden pada waktu malam,” kata beliau kepada pemberita di madrasah itu hari ini.

Buat masa ini katanya, tiada keperluan mendesak untuk mengganti tempat pembantu warden.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan kematian pelajar tahfiz berusia 11 tahun itu pada 26 April lepas berpunca daripada penyakit kencing tikus atau leptospirosis dan bukannya kerana trauma atau kecederaan dialami.

Sebelum ini, kematian pelajar berkenaan yang dipotong kedua kakinya itu dikaitkan dengan kecederaan akibat dipukul dengan getah paip oleh seorang pembantu warden madrasah.

Sementara itu, Mohammad Afdhaluddin berkata sekumpulan petugas Kementerian Kesihatan sudah membuat pemeriksaan fizikal dan emosi pelajar tahfiz dan semua kakitangan serta pemeriksaan persekitaran madrasah tersebut.

“Ada pelajar yang diarahkan membuat pemeriksaan kesihatan, namun tiada sebarang masalah kesihatan dikesan,” kata beliau serta menambah pihaknya juga menambah baik prosedur pengambilan pelajar dengan mewajibkan pelajar baru membuat pemeriksaan kesihatan sebelum mendaftar.

Beliau berkata berdasarkan laporan kementerian kesihatan, ternyata tiada kes penderaan yang berlaku di madrasah berkenaan dan ia selari dengan penjelasan pihaknya berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Bagaimanapun, kami bersyukur dan mengambil pengajaran dalam menambah baik SOP dan memperkemas sistem sedia ada demi kemajuan madrasah berkenaan pada masa depan,” kata Mohammad Afdhaluddin.

Selain itu, sebanyak 16 CCTV ditambah menjadikan jumlah keseluruhannya 40 CCTV di madrasah itu, bagi memperbaiki pemantauan terhadap pelajar dan kakitangan.

Madrasah itu dibuka pada 6 Jun 2011, kini mempunyai 105 pelajar dan 13 kakitangan.