PRS: Ada pihak cuba lemahkan perpaduan Dayak

james-kemut-masing_sarawak_dayak_600

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Jemut Masing mendakwa ada kumpulan tertentu yang berusaha selama beberapa dekad untuk memecahbelahkan orang Dayak bagi memastikan komuniti mereka kekal berkuasa.

Dalam wawancara eksklusif bersama FMT, Masing yang juga timbalan ketua menteri Sarawak mendakwa PRS yang merupakan parti Dayak terbesar di negeri itu dihalang berkembang dari segi saiz dan pengaruh oleh kumpulan berkenaan.

“Kami hadapi masalah berkembang kerana ada orang campur tangan dalam urusan kami, tidak kira pembangkang atau Barisan Nasional (BN) sendiri.

“Orang Dayak tidak dibenarkan menjadi terlalu kuat kerana kami kumpulan majoriti. Sesetengah orang anggap kami gergasi lapar dan jika kami terlalu kuat, kami akan makan mereka,” katanya.

PRS mempunyai 11 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 40 kerusi dipegang BN yang diketuai Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Openg.

PRS ialah pengganti Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang dibatalkan pendaftaran pada 2003 ekoran krisis kepimpinan.

Sebuah cabang yang diberikan nama PBDS-Baru kemudiannya dibentuk, namun ia hanya mendapat sedikit sokongan pengundi.

Selain PRS, ada di kalangan orang Dayak yang menjadi ahli parti komponen BN Sarawak lain – PBB, SUPP dan SPDP – tambahan kepada cabang SUPP dan SPDP.

Masing berkata, komuniti Dayak boleh menjadi kuasa politik yang dominan di Sarawak, tetapi ia berdepan 2 halangan utama.

Beliau berkata, pertama ialah usaha berterusan komuniti tertentu selama beberapa dekad untuk memecahbelahkan orang Dayak bagi memastikan komuniti mereka kekal berkuasa.

Halangan ke-2, katanya, datang daripada orang Dayak yang merupakan musuh sendiri.

“Etnik Dayak perlu belajar cara tidak menyalahkan orang lain atas kesusahan sendiri, kesilapan politik dan ketidakstabilan mereka. Kita mesti mengkaji diri untuk mencari di mana salah kita. Hanya cara itu kita boleh berkembang.”

Etnik Dayak mempunyai sejarah politik huru-hara di Sarawak.

Etnik itu mencapai kemuncaknya ketika pembentukan Malaysia pada 1963, apabila pemimpin Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Tan Sri Stephen Kalong Ningkan menjadi ketua menteri Sarawak pertama.

Selepas penyingkiran Ningkan daripada jawatan ketua menteri pada 1966, parti itu hilang pengaruh secara beransur-ansur dan ia dibubarkan pada 2013. Bagaimanapun, sebelum itu, kebanyakan ahlinya menyertai PBDS yang hampir berjaya menjatuhkan bekas ketua menteri Sarawak, Tun Taib Mahmud pada 1987.

Selepas kegagalan itu, PBDS berpecah dan mula merosot secara perlahan-lahan.

Masing berkata, beliau mahu meninggalkan legasi untuk memastikan PRS tidak mengalami nasib sama seperti PBDS, sebaik sahaja beliau bersara daripada dunia politik.

“Masalah kami adalah organisasi Dayak tidak pernah bertahan melebihi seorang presiden.

“Jika saya bersara hari ini, esok (PRS) pecah. Saya tidak boleh membenarkannya berlaku,” katanya.

Oleh itu, beliau akan memastikan calon parti yang diturunkan pada pilihan raya umum akan datang terdiri daripada individu komited untuk menambah baik masyarakat Dayak dan setia kepada PRS.

Pada pilihan raya negeri tahun lepas, PRS memenangi semua 11 kerusi yang dipertandingkannya.

Ini, kata Masing, menunjukkan orang Dayak bersatu dengan PRS sebagai parti yang mewakili komuniti mereka.