Shafie: Rakyat Sabah berhak tahu semuanya tentang MA63

Shafie-Apdal-ma63RANAU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal berkata, rakyat Sabah berhak tahu hak penuh negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan jika hak itu terlepas pandang atau diabaikan sepenuhnya.

Beliau berkata, Warisan menyokong rancangan Sarawak menghantar sebuah pasukan perundangan ke London untuk mengetahui lebih lanjut mengenai MA63.

“Kami juga mahu melihat sama ada terdapat pelanggaran perjanjian itu. Ada banyak tuntutan daripada kedua-dua negeri dan rakyatnya mengenai hak mereka di bawah MA63.

“Kita perlu melihat MA63 dari segi undang-undang dan jika ada keperluan untuk kita mengkaji lebih mendalam,” katanya pada sambutan perayaan Tadau Kaamatan dan Hari Raya Aidilfitri anjuran Warisan lewat minggu lalu.

Pada 2 Julai lalu, Datuk Abang Johari Openg mengumumkan Sarawak akan menghantar sepasukan peguam ke London untuk mencari dan meneliti rujukan berhubung MA1963 bagi menentukan hak sebenar negeri itu yang termaktub di bawah perjanjian tersebut.

Ketua menteri Sarawak itu berkata, pasukan itu akan diketuai Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Persekutuan-Negeri dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Shafie yang juga ahli Parlimen Semporna menegaskan rakyat Sabah perlu mengetahui sejauh mana hak negeri itu mungkin dilanggar atau diabaikan sepenuhnya.

“Ada banyak perkara dalam perjanjian itu – hak pendapatan, berapa jauh (dari luar pesisir dianggap) hak Sabah, peratusan pendapatan cukai yang patut diberikan kepada Sabah, bahasa dan pelantikan pegawai.”

Shafie berkata, rakyat Sabah dan generasi akan datang akan mendapat manfaat selepas mengetahui hak penuh Sabah dan kemungkinan wujud pelanggaran terhadap hak itu.

“Kami perlu tahu kedudukan sebenar kami supaya perkara ini tidak membelenggu generasi akan datang. Kami hanya boleh berhenti mengambil tahu mengenai perkara ini selepas tahu hak penuh kami.

“Kami tidak boleh berehat jika tidak tahu sama ada terdapat sebarang pelanggaran perjanjian. Jika ada, kita perlu tahu di mana pelanggaran itu. Itulah sebabnya kita perlu mengkaji perkara ini secara terperinci.”

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/02/hantar-misi-ke-uk-johari-teruskan-usaha-adenan-pertahan-hak-sarawak/