Suspek bunuh pengasas Ambank diarah bela diri

Koong-Swee-KwanKUALA LUMPUR: Pemandu trak tunda Koong Swee Kuan yang menghadapi perbicaraan semula kes bunuh pengasas Arab-Malaysia Bank (AmBank) Hussain Ahmad Najadi 3 tahun lalu, sekali lagi diperintahkan membela diri terhadap pertuduhan itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Ab Karim Ab Rahman memutuskan pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah membuktikan kes prima facie terhadap Koong kerana membunuh Hussain dan cuba membunuh isteri Hussain, Cheong Mei Kuen pada 29 Julai 2013 di Kuan Kuil Yin, Jalan Ceylon.

“Mahkamah menerima bukti daripada isteri dan 2 saksi lain di tempat kejadian yang mengatakan mereka mengecam Koong sebagai orang yang melepaskan tembakan dari jarak dekat,” katanya.

Karim menambah tindakan Koong menembak Cheong boleh menyebabkan kematian.

“Doktor yang merawatnya memberitahu mahkamah dia mungkin mati jika tidak dirawat,” katanya.

Apabila ditanya mahkamah bagaimana Koong ingin memberikan testimoni, peguamnya Jagjit Singh berkata beliau kali ini akan masuk ke kandang saksi dan membenarkan dirinya diperiksa balas.

Pada pendengaran pertama, Koong memilih untuk memberi kenyataan dari dok dan tidak membenarkan pemeriksaan balas.

Karim menetapkan 17 Ogos dan 25 Ogos ini untuk mendengar testimoni.

Koong atau nama samarannya “sei ngan chai” yang bermaksud lelaki berkaca mata, sebelum ini didapati bersalah pada September 2014 kerana membunuh Hussain di kuil dan 1 lagi pertuduhan cubaan membunuh Cheong di tempat yang sama.

Dia dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun atas cubaan membunuh.

Kes Koong diperdengar lebih awal oleh Hakim Mahkamah Tinggi Azman Husin.

Bagaimanapun, sebelum mensabitkan Koong, Hakim Azman mendengar dan menolak rayuan pemandu teksi Chew Siang Chee pada Ogos 2014. Chew dikatakan menumpangkan Koong selepas kejadian tembakan itu.

Chew disabitkan dan dihukum penjara 10 tahun atas 2 pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen kerana memiliki pistol dan peluru hidup. Bagaimanapun, beliau dibebaskan Mahkamah Rayuan tahun lepas.

Mahkamah Persekutuan pada Disember lalu memerintahkan perbicaraan semula kes pembunuhan Hussain dan cubaan membunuh isterinya, dan memutuskan hakim perbicaraan (Azman) prejudis terhadap Koong.