Tahanan lolos: 8 polis dikenakan tindakan tegas

Noor-Rashid-Ibrahim-polis-ditahanKUALA LUMPUR: Timbalan ketua polis negara menegaskan tindakan tegas akan dikenakan kepada anggota yang cuai sehingga menyebabkan seorang tahanan lolos di bawah seliaan mereka di Pulau Pinang, kelmarin.

Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam perkara itu dan berharap ia menjadi pengajaran kepada anggota lain.

“Kita hendak lihat mana kelemahan dari segi prosedur operasi standard (SOP). Kalau perlu penyelia balai diambil tindakan, kita akan ambil tindakan.

“Kita tidak akan berkompromi benda-benda ini. Kita akan jadikan pengajaran kepada yang lain,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Sehingga kini, seorang nelayan bersama seorang anggota polis berpangkat sarjan, 3 koperal dan 4 lans koperal, termasuk penyelia balai ditahan di George Town atas dakwaan membuat laporan palsu berhubung kes tahanan lolos.

Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye dilaporkan berkata, semua anggota polis berusia 27 hingga 59 tahun itu bertugas di lokap pusat Bayan Baru, manakala nelayan berusia 56 tahun itu dipercayai rakan tahanan yang akan membantu membawanya keluar dari negara ini melalui jalan laut.

Beliau berkata, berdasarkan laporan anggota polis terbabit, Anuar Ayat, 43, melarikan diri ketika dia dan 2 lagi tahanan yang dikatakan sakit, berada dalam van polis bersama 5 anggota mengiringi mereka mendapatkan rawatan di Hospital Balik Pulau.

“Anggota polis terlibat didapati membuat laporan polis palsu. Siasatan awal kami mendapati ketiga-tiga banduan itu dibawa untuk bertemu keluarga masing-masing dan mereka juga tidak digari. Van yang membawa mereka juga tidak rosak sebagaimana dilaporkan,” katanya semalam.

Chuah berkata, siasatan mendapati anggota polis terbabit mengenakan sejumlah bayaran untuk membawa keluar 3 tahanan itu daripada lokap pada jam 2 pagi Ahad dengan Anuar dibawa ke sebuah kondominium di Sungai Ara, manakala 2 lagi tahanan berusia 38 dan 45 tahun dibawa ke sebuah inap desa di kawasan sama.

Semasa dalam perjalanan pulang ke lokap, Anuar meminta berjumpa rakannya di Sungai Nibong Besar dan dia melarikan diri ketika bertemu rakannya kira-kira 4 pagi.

Mengulas lanjut, Rashid yakin tahanan yang lolos itu dapat diberkas semula kerana ada saksi melaporkan pernah ternampak kelibat tahanan terbabit.

“Belum lagi (berkas tahanan). Dia ada di sini, dia hendak pergi ke mana? Kita ada saksi mencukupi, dia masih di dalam negara,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/10/8-polis-direman-tipu-tahanan-lari-akibat-van-rosak/