Umno Pulau Pinang: Banyak cawangan kami dibatalkan JPPM

Zainal-Abidin-Osman-umno-dapGEORGE TOWN: Umno meminta DAP berhenti menyerang Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) berhubung arahan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusatnya (CEC) kerana agensi itu bertindak adil dan profesional terhadap semua pihak.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, JPPM pernah membatalkan pendaftaran banyak cawangan parti itu yang tidak mengisytiharkan “Borang 9” tanpa memberi banyak notis.

Beliau berkata, sesetengah cawangan itu hanya diberikan notis “3 atau 4 tahun” kemudian, tetapi Umno tidak kecoh mengenainya.

(Borang 9 ialah borang semakan untuk dokumen yang wajib diserahkan kepada JPPM setiap tahun. Ia termasuk minit mesyuarat agung tahunan dan penyata akaun cawangan.)

“Kami tidak pernah kata ‘hey…Umno ialah kerajaan, bagaimana mereka boleh batalkan cawangan kami’?

“Sebaliknya, kami beritahu semua 22,000 lebih cawangan kami di seluruh negara untuk mematuhi peraturan supaya mereka tidak berdepan risiko dibatalkan pendaftaran,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan DAP mematuhi arahan JPPM dan tidak menuding jari serta mempolitikkan isu itu.

“DAP suka menyalahkan orang lain atas sebarang kekurangan atau bencana. Berhenti salahkan pihak lain.

“Mungkin DAP patut meminta JPPM menghantar pemerhatinya ke pemilihan parti akan datang?” katanya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Umno negeri hari ini yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Ahad lalu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dilaporkan berkata, parti itu “tidak takut” mengadakan pemilihan semula CEC, tetapi apa jaminan JPPM untuk tidak mengeluarkan arahan sama sekali lagi.

Beliau turut menyalahkan “kecenderungan” Umno menggunakan JPPM untuk mensabotaj persiapan DAP menghadapi pilihan raya umum ke-14 yang menyasarkan misi mengubah kerajaan pusat.

Isu itu bermula apabila Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad berkata, ahli DAP tidak tahu sama ada logo roket boleh digunakan pada PRU14 kerana CEC parti itu tidak diiktiraf JPPM.

Pada 2 Julai lalu, Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo berkata, Tengku Sariffuddin mendapat fakta salah kerana perkara itu sudah diputuskan mahkamah pada 2014.

Ia disusuli permintaan JPPM supaya DAP mengadakan pemilihan semula CEC, Jumaat lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Razin Abdullah dilaporkan berkata, pelantikan 20 anggota CEC DAP serta pemegang jawatan utama hasil pemilihan semula yang diadakan pada 29 September 2013, tidak sah dari segi undang-undang.

Katanya, pemilihan semula yang diadakan itu sepatutnya berdasarkan senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012, iaitu melibatkan 2,576 perwakilan dari 865 cawangan.

Pada 17 April 2013, 3 minggu sebelum PRU13 pada 5 Mei, JPPM menghantar sepucuk surat kepada DAP menyatakan CEC baharu parti itu tidak diiktiraf disebabkan pertikaian berhubung pemilihan parti.

Bagaimanapun, JPPM mengeluarkan sepucuk lagi surat pada 19 April tahun itu memaklumkan parti berkenaan dibenar menggunakan logo roketnya pada PRU13.