DAP buat aduan terhadap ketua pengarah JPPM kepada JPA

weng-san-1

PUTRAJAYA: Pertikaian antara DAP dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengenai isu pemilihan parti itu berlarutan apabila DAP hari ini memfailkan aduan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terhadap ketua pengarah JPPM.

Adun Kampung Tunku Lau Weng San dan Adun Kinrara Ng Sze Han dalam aduan rasmi itu mendakwa Datuk Mohammad Razin Abdullah gagal mematuhi piagam pelanggan JPPM yang menetapkan sebarang isu mesti diselesaikan dalam masa 179 hari.

“Aduan mengenai pemilihan semula pertama kali dibuat pada 29 September 2013 tetapi sehingga ke hari ini, selepas 1,338 hari, JPPM masih belum menyelesaikan aduan itu,” kata Lau, dan menambah JPA memulakan prosiding disiplin terhadap Razin.

Sementara itu, Ng berkata JPPM masih belum respon kepada permohonan menubuhkan cawangan baharu dan pindaan pada perlembagaan parti.

“Permohonan menubuhkan cawangan baharu sepatutnya hanya mengambil masa 5 hari untuk diproses, tetapi sehingga hari ini masih belum ada respon dari mereka dan ini menyebabkan lebih 220 cawangan tidak dapat ditubuhkan,” katanya.

Mengenai pindaan perlembagaan pula, Ng menjelaskan DAP mahu memasukkan 30% kuota untuk wanita dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) tetapi belum mendapat persetujuan JPPM.

Lau berkata pimpinan parti berkali-kali mengatakan mereka boleh mengadakan pemilihan semula tetapi menyoal apakah jaminan JPPM akan menerima pemegang jawatan baharu CEC selepas pemilihan semula diadakan.

“Berapa kali nak adakan pemilihan parti kalau JPPM enggan mengiktiraf pemegang jawatan CEC? Mengadakan pemilihan semula menelan belanja besar kerana kami perlu sewa premis dan sediakan makanan untuk perwakilan,” katanya.

Ketua Penolong Pengarah Komunikasi Korporat Jaafar Jantan menerima aduan DAP bagi pihak JPA.

Jumaat lepas, Razin mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula untuk 20 anggota CE, kerana JPPM tidak mengiktiraf jawatankuasa yang terpilih pada 29 September 2013.

Beliau menambah ahli CEC boleh memegang jawatan mereka selepas pemilihan diadakan semula dan diiktiraf JPPM.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata mereka tidak akan mengadakan pemilihan baharu, tetapi mahu bertemu JPPM.

Beliau menambah DAP sudah mengadakan pemilihan semula pada 2013 seperti yang diarahkan JPPM.

Pertikaian mengenai pemilihan DAP berlaku 4 tahun lalu, 3 minggu sebelum pilihan raya umum ke-13 yang diadakan pada 5 Mei 2013 pada tahun sebelumnya.

Ketua pengarah JPPM ketika itu, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, CEC baharu parti itu tidak diiktiraf disebabkan pertikaian berhubung pemilihan parti, dan memberi amaran pendaftaran DAP berdepan risiko pembatalan.

Bagaimanapun, JPPM mengeluarkan sepucuk lagi surat pada 19 April memaklumkan parti itu dibenar menggunakan logo roketnya pada PRU.

Pemilihan semula CEC dilakukan pada 29 September 2013, tetapi ia juga berdepan masalah apabila JPPM enggan mengiktiraf jawatankuasa itu.

Pada 22 Januari 2014, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi pihak parti itu dengan menyatakan JPPM tiada kuasa di bawah Akta Pertubuhan 1966 untuk menafikan pengiktirafan CEC yang dipilih semula pada 29 September 2013.

DAP menarik balik permohonan itu pada 23 September 2014, susulan pengiktirafan JPPM terhadap CEC dipilih semula itu dan pendiriannya yang kenyataan berhubung perkara itu sekadar nasihat dan tidak sah.