Di KL, Ghannouchi gesa umat Islam renung realiti semasa

Ghannouchi--1

KUALA LUMPUR: Dunia Islam perlu merenung kembali realiti menimpa mereka hari ini dengan pelbagai masalah dan konflik, kata tokoh gerakan Islam Tunisia, Rached Ghannouchi.

Pemimpin Parti Ennahda yang sering dikaitkan dengan istilah “demokrat Islam” itu berkata ia amat diperlukan terutama dalam hubungan antara Islam dan bukan Islam hari ini.

“Maka menjadi tanggungjawab universiti untuk memberikan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi umat Islam hari ini,” katanya berucap pada majlis konvokesyen khas Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Peradaban Islam.

Ucapannya yang disampaikan dalam bahasa Arab diringkaskan dalam bahasa Inggeris oleh pensyarah UIAM Dr Ahmad el-Muhammadi.

Ghannouchi mengakui kewujudan elemen ekstrem dan sederhana dalam dunia Islam hari ini, menyifatkannya pertembungan dalam tradisi Islam.

Menurutnya, generasi Islam hari ini perlu meneruskan gagasan intelektual Islam seperti Rashid Ridha, Jamaluddin Al-Afghani dan Muhammad Abduh, tokoh pembaharuan Islam pada lewat abad ke-19 dan 20.

“Pada zaman silam, Islam dilihat sebagai pemimpin dunia tetapi hari ini kita telah merosot.

“Kita perlu mendapatkan kembali status itu, bukan dengan berpandukan dunia Barat semata-mata tetapi dengan menggali semula tradisi kita,” katanya.

Parti Ennahda yang dipimpin Ghannouchi merupakan sekutu Ikhwan Muslimin di Mesir, gerakan yang kini menjadi sasaran Arab Saudi dan sekutunya.

Ghannouchi beberapa kali dipenjarakan oleh regim Tunisia. Beliau menerima suaka politik di Britain pada 1987. Pada 2011, apabila regim Zine El Abidine Ben Ali ditumbangkan melalui revolusi Tunisia yang mencetuskan kebangkitan di beberapa negara Arab, Ennahda tampil memainkan peranan utama dan kemudiannya memenangi pilihan raya.

Ghannouchi yang kerap dikaitkan dengan politik Islam moderat mempertikaikan tanggapan dunia Arab “belum bersedia” mengamalkan demokrasi.

“Dunia Arab sudah bersedia. Demokrasi boleh hidup dalam dunia Islam. Tunisia adalah contoh terbaik,” katanya.

Beliau mengakui elemen ekstremisme wujud di negaranya, tetapi berkata rakyat memilih demokrasi dan berjaya mengamalkannya tanpa mengabaikan mana-mana pihak, sama ada ekstrem atau sederhana.

“Rakyat Tunisia telah menyedarkan dunia Arab,” katanya lagi.

Beliau turut berpesan agar dunia Islam terus menangani isu hak asasi manusia, kebebasan dan kesaksamaan gender.