India gantung larangan jual lembu untuk disembelih

mahkamah-india-lembuNEW DELHI: Mahkamah Agung India menggantung larangan penjualan lembu untuk disembelih, keputusan yang dilihat mampu mendorong perkembangan industri kulit dan daging lembu berbilion dolar yang kebanyakannya dikendalikan golongan minoriti Islam.

Mei lalu, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi mengeluarkan arahan penjualan lembu hanya dibenarkan untuk tujuan pertanian, seperti membajak dan penghasilan susu, dalam usaha menghentikan kekejaman terhadap binatang.

Penyembelihan lembu yang dianggap suci bagi penganut Hindu, dilarang di kebanyakan tempat di India, tetapi penyokong kuat agama Hindu dan kumpulan “vigilante” lembu semakin berani sejak kerajaan Modi berkuasa pada 2014.

Umat Islam yang terdiri daripada 14% dalam kalangan 1.3 bilion populasi India berkata, larangan kerajaan pada Mei lalu ke atas industri kulit dan daging lembu yang mengambil berjuta pekerja, bertujuan meminggirkan mereka.

Mahkamah Agung dalam penghakimannya berkata, timbul kesulitan dalam larangan yang dilaksanakan ke atas penjualan lembu untuk disembelih.

“Kehidupan rakyat tidak patut dipengaruhi larangan ini,” kata Ketua Hakim Mahkamah Agung, Jagdish Singh Khehar dalam mahkamah yang penuh dengan peguam dan wakil industri daging lembu.

Jualan tahunan industri daging dan kulit lembu di India melebihi AS$16 bilion.

Susulan keputusan itu, Peguam Cara Negara Tambahan, P S Narasimha berkata, kerajaan akan mengubah suai larangan Mei lalu.

Kerajaan boleh mengecualikan kerbau daripada larangan itu – kerbau tidak dianggap suci – dan daging kerbau merupakan sebahagian besar eksport “daging lembu” India.

Tindakan tegas terhadap industri daging lembu menjadi sangat emotif, susulan satu siri serangan ke atas umat Islam disyaki menyimpan daging lembu atau menghantar lembu untuk disembelih. Kira-kira 28 orang terbunuh dalam keganasan berkaitan lembu sejak 2010.

Akhir bulan lalu, Modi mengutuk pembunuhan itu, selepas berbulan-bulan mendiamkan diri terhadap keganasan yang berlaku di negaranya.

Media melaporkan sekurang-kurangnya 2 serangan ke atas umat Islam berlaku sejak Modi bersuara.

Kelegaan besar

Presiden Jawatankuasa Tindakan Jamiatul Quresh Muslim All India, Abdul Faheem Qureshi yang menyokong penjual daging, mengalu-alukan keputusan mahkamah tersebut.

“Kita kini boleh memulihkan keyakinan penjual lembu untuk meneruskan perniagaan mereka. Ia kemenangan bagi kita,” kata Faheem yang memfailkan petisyen kepada Mahkamah Agung berhubung larangan kerajaan itu.

India mengeksport 1.33 juta tan daging kerbau pada tahun fiskal 2016/17 sehingga 31 Mac lalu yang bernilai kira-kira AS$3.9 bilion berbanding 1.31 juta tan pada tahun sebelumnya.

Perintah Mahkamah Agung itu merupakan rangsangan bagi industri kulit yang menjadi pembekal kepada jenama terkenal seperti Zara dan Clarks.

“Perintah ini membawa kelegaan besar,” kata Puran Dawar, pengerusi pengeksport kasut Dawar Footwear Industries yang berpangkalan di Agra.

Selain umat Islam, industri kulit turut mengambil pekerja beragama Hindu daripada kasta rendah yang kebanyakannya ditugaskan memproses kulit.

Tetapi, sebuah kumpulan perlindungan lembu berkata, kerajaan sepatutnya lebih tegas dalam kes itu di mahkamah.

“Kerajaan sepatutnya berpendirian tegas dalam berjuang untuk melaksanakan larangan itu.

“Modi perlu menghormati sentimen jutaan penganut Hindu yang menyokong kerajaannya,” kata Pawan Pandit, pengerusi Kumpulan Perlindungan Lembu India.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/29/modi-kecam-pembunuhan-kerana-lembu/