Jangan gelabah trak kami, Rafizi beritahu Umno Johor

rafizi-umno-johor

PETALING JAYA: Pakatan Harapan akan terus memberi tumpuan kepada 15 kerusi di Johor yang baru-baru ini disasarkan badan kajian Invoke Malaysia diketuai Rafizi Ramli, selepas gabungan itu dipersoalkan pimpinan Umno negeri kerana tidak pernah berjasa kepada rakyat.

“Seperti mana saya tidak melupakan jasa pimpinan Umno terdahulu (yang banyaknya juga dari Johor), saya juga tidak boleh mengenepikan begitu sahaja banyak kerosakan pimpinan Umno masa kini di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, hanya kerana Umno di masa lampau banyak berjasa kepada rakyat,” kata naib presiden PKR itu.

Sabtu lalu, Rafizi melancarkan jelajah dan trak kempen “Jom Bina Semula Negara” menyasarkan sejumlah 50 kerusi yang mempunyai peluang kemenangan untuk Pakatan Harapan. Sejumlah 15 daripada kerusi itu terletak di Johor.

Rafizi berkata negeri tempat lahir Umno itu dipilih memulakan jelajah itu kerana ia merupakan negeri utama peralihan sokongan dijangka berlaku pada pilihan raya umum akan datang.

“Sebagai negeri utama yang dijangka berlaku peralihan sokongan dari Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan, sudah pasti kempen akar umbi menggunakan trak kempen “Bina Semula Negara” ini akan banyak singgah di negeri Johor,” katanya.

Sebelum ini, 2 pemimpin Umno negeri, Ketua Umno Segamat, Zahari Sarip dan Ahli Parlimen Sekijang Anuar Manap dipetik Malaysiakini sebagai berkata Rafizi sekadar menabur “fitnah” dan propaganda, dan cuba mengambil peluang terhadap masalah yang dialami penduduk Felda, yang menurut mereka sudah pun diselesaikan.

Dalam responsnya, Rafizi berkata beliau tidak hairan dengan reaksi mereka dan yakin kedua-dua Sekijang dan Segamat, yang kini disandang Datuk Seri Dr S. Subramaniam dari MIC, akan jatuh ke tangan pembangkang.

Rafizi menambah, gaji yang kekal rendah, lambakan pekerja asing yang memberi kesan kepada peluang pekerjaan serta kenaikan kos disebabkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) semuanya lahir daripada dasar Barisan Nasional.

“Sebaliknya, jaguh GST yang menjadi bahan cemuhan di seluruh negara ialah seorang pemimpin Umno Johor iaitu Datuk Ahmad Maslan,” katanya.

Rafizi berkata bandar lain di Johor yang bakal dikunjungi trak kempen ialah Sembrong, Ledang, Muar, Johor Bahru, Segamat, Sekijang, Pasir Gudang, Tebrau dan Batu Pahat.