Noh Omar ‘cicak mengkarung’, Azmin masih pilih Pekan

azmin-ali-noh-omar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau bercadang untuk kekal sebagai wakil rakyat Gombak, menolak cabaran Pengerusi Umno, Tan Sri Noh Omar untuk bertanding di kawasan Parlimennya di Tanjung Karang.

Menteri besar Selangor itu berkata kalau pun mahu meninggalkan Gombak, beliau akan memilih berdepan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Lawan saya Najib. Siapalah Noh ini? Ini cicak mengkarung je. Saya nak lawan, saya kena lawan dengan Najiblah,” katanya pada majlis Hari Raya di kediaman Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Azmin merupakan Ahli Parlimen Gombak dan Adun Bukit Antarabangsa, selepas mengalahkan calon Umno mewakili Barisan Nasional.

Noh baru-baru ini menyeru Azmin bertanding di Tanjung Karang selepas timbalan presiden PKR itu menyatakan hasrat bertanding di Pekan yang diwakili Najib.

Azmin berkata beliau tidak akan meninggalkan Gombak kecuali ada tujuan strategik.

“Saya tidak ada niat untuk tinggalkan Gombak, Gombak kubu saya. Kalau ada pandangan untuk saya berhijrah ke kawasan lain untuk tujuan strategi saya memilih Pekan,” katanya.