Peguam MH17 rayu Putin tebus kematian

mh17-restructure

SYDNEY: Presiden Rusia Vladimir Putin mesti “menebus” kematian mereka yang terbunuh dalam pesawat Malaysia Airlines yang ditembak jatuh di ruang udara Ukraine, kata peguam yang mewakili mangsa hari ini sebelum ulangtahun ke-3 memperingati bencana itu.

Pesawat itu ditembak jatuh di kawasan konflik di timur Ukraine pada 17 Julai 2014, membunuh 298 orang di penumpang, termasuk 38 warga dan penduduk Australia.

Penemuan awal tahun lepas menyimpulkan pesawat Boeing 777 ditembak jatuh peluru berpandu yang diangkut dari Rusia, tetapi Moscow menafikan sebarang pembabitan, dan menyalahkan Kiev.

“Putin, 3 tahun anak guam saya ternanti-nanti. Masih belum mahu bertanggungjawab,” kata Jerome Skinner, seorang peguam AS yang mewakili mangsa dari Australia, Malaysia, New Zealand dan Belanda, dalam artikel yang disiarkan Sydney Morning Herald.

“Tidakkah kamu rasa kematian tragik seperti itu perlukan penjelasan?…Hanya kamu seorang sahaja yang boleh betulkan keadaan ini.

“Saya akan gunakan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah dan saluran lain untuk mendesak Kremlin bertanggungjawab…temui saya dan tebus kematian mangsa tragedi itu.”

Rayuan Skinner ini seminggu selepas negara yang mengetuai pasukan siasatan bersama (JIT) – Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine – bersetuju perbicaraan akan dijalankan dalam sistem kehakiman Belanda.

Dapatan awal mengatakan kira-kira 100 orang disiasat kerana memainkan “peranan aktif” dalam bencana itu.

Penyiasat antarabangsa bulan lepas menerbitkan video waris MH17 bercakap mengenai penderitaan kehilangan orang tersayang, dengan harapan penduduk di Ukraine tampil dengan maklumat baru, lapor media Belanda.

Kesatuan Eropah bulan lepas secara rasmi mengenakan sekatan ekonomi terhadap Rusia, dikenakan selepas MH17 ditembak jatuh, untuk 6 bulan lagi, selepas Moscow gagal memenuhi komitmen gencatan senjata di Ukraine.