Saya beri JPPM 48 jam hantar surat, kata Gobind

gobind-ros-dap-1

PETALING JAYA: Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Gobind Singh Deo menuntut Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengumumkan dalam masa 48 jam jika ia mahu menghantar sebarang pemberitahuan rasmi kepada parti mengenai pemilihan baharu Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Sudah 5 hari sejak JPPM mengeluarkan kenyataan media mengarahkan pemilihan baharu tetapi tidak diikuti dengan surat rasmi seperti yang ditetapkan tatacara operasi standard.

“Saya terkejut dengan kelakuan JPPM dalam pengendalian siasatan ke atas DAP.

“JPPM tidak menghantar sebarang surat yang mengarahkan kami untuk mengadakan pemilihan baharu setakat 1.00 petang hari ini. Sekali lagi saya bertanya, mana surat itu?

“JPPM tidak boleh mempermainkan kami. Jangan mengeluarkan kenyataan media kemudian diam. Bertindaklah secara munasabah. Kelakuan JPPM ini paling tidak profesional,” tegas Gobind dalam kenyataan.

Mengulangi komen yang dibuatnya di Facebook semalam, Gobind berkata kelewatan JPPM akan menjejaskan parti, kerana masa faktor penting dalam hal ini.

“Saya minta JPPM menyatakan sama ada surat akan dihantar ataupun tidak. Sekiranya tidak, adakah kita sepatutnya bertindak berdasarkan kenyataan media Jumaat lepas?

“Saya memberikan JPPM 48 jam. Jika mereka gagal menghantar sebarang surat atau respon sebelum berakhirnya waktu pejabat Jumaat ini, DAP tidak mempunyai pilihan tetapi akan mempertimbangkan pilihan yang ada untuk menangani situasi ini.

“Kami tidak boleh mengadakan pemilihan baharu tanpa perhubungan rasmi daripada JPPM mengarahkan perkara itu. Itu pendirian saya dalam perkara ini. Paksa kami berbuat demikian paling tidak munasabah,” kata Gobind sambil menambah surat itu sangat penting.

Gobind berkata JPPM bertanggungjawab menyatakan keputusan dan arahan yang perlu dipatuhi parti secara jelas.

Sabtu lepas, berikutan kenyataan media JPPM yang dikeluarkan pada Khamis, DAP mengadakan sidang akhbar untuk mengumumkan ia tidak akan mengadakan pemilhan baharu, namun berkata mahu bertemu JPPM.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegaskan parti itu sudah mengadakan pemilihan semula pada 2013 seperti yang diarahkan JPPM.

Lim menambah parti itu juga memaklumkan kepada JPPM berhubung keputusan pemilihan semula itu, yang melibatkan 2,576 perwakilan yang layak.

“Oleh itu, persoalan mengenai pemilihan baharu tidak timbul,” katanya, sambil menambah mereka masih ingin bertemu JPPM, untuk membincangkan isu ini dan keputusan terbaru yang diumum 3 tahun selepas menganggap perkara ini sudah tamat.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/07/jabatan-pendaftaran-arah-dap-adakan-pemilihan-semula/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/08/dap-tidak-boleh-buat-keputusan-selagi-belum-terima-surat-rasmi-kata-gobind/