Shafee sangkal dakwaan Anwar mengenai peranan lanjut tempoh hakim

shafee-anwar3

PETALING JAYA: Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini menyangkal dakwaan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya peguam itu ada peranan dalam membantu melanjutkan tempoh jawatan hakim Tan Sri Raus Shariff dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin.

“Anwar boleh cakap apa sahaja yang dia suka.

“Saya fikir semua itu mengarut,” kata peguam itu kepada pemberita selepas menghadiri kes di Mahkamah Persekutuan Putrajaya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Anwar pada hari Isnin yang mendakwa beliau menerima maklumat yang Shafee memainkan peranan penting dalam pelanjutan itu.

Beliau menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berterus terang jika benar Shafee terlibat dalam perkara tersebut.

Jumaat lepas, Pejabat Perdana Menteri berkata Raus akan terus memegang jawatannya untuk 3 tahun lagi dari 4 Ogos manakala Hakim Zulkefli juga akan dilanjutkan jawatannya untuk 2 tahun lagi dari 28 September.

Tempoh lanjutan jawatan mereka dibantah pengamal undang-undang seperti bekas hakim seperti Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Datuk Abdul Hamid Mohamad, dan Badan Peguam yang berkata langkah lanjutan tempoh khidmat hakim Raus dan Zulkefli tidak berperlembagaan.

Bagaimanapun, Shafee dan seorang lagi peguam kanan Jagjit Singh berkata pelantikan 2 hakim tambahan itu sah.

Sementara itu, mengulas perkembangan lain, Shafee berkata beliau tidak akan respon kepada dakwaan yang dibuat Sarawak Report pada Mei yang mendakwa beliau salah seorang “penerima terbesar wang dari akaun 1MDB Najib”, iaitu sejumlah RM9.5 juta.

“Saya tidak akan respon kerana kes itu di mahkamah sekarang.

“Saya akan jumpa Anwar di mahkamah. Mari lihat sama ada beliau betul,” tambahnya.

Laporan Sarawak Report mendakwa Shafee menerima 2 bayaran, antara September 2013 dan Februari 2014.

Pembayaran terakhir dikatakan sebelum pensabitan Anwar dalam kes liwat II pada Februari, 3 tahun lalu.

Kerajaan melantik beliau mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes itu.

Bulan lalu Anwar memfailkan perintah mahkamah untuk memaksa Najib dan Shafee mendedahkan akaun bank mereka, berikutan dakwaan RM9.5 juta dipindahkan kepada peguam itu.

Beliau mahu mahkamah memaksa Najib dan Shafee menunjukkan penyata bank 3 bulan dari Ogos 2013 dan 3 bulan lagi dari Januari 2014.

Beliau juga mahu Najib mendedahkan transaksi pada 11 September 2013 dan 17 Februari 2014, yang didakwa menunjukkan pembayaran sebanyak RM4.3 juta dan RM5.2 juta.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/10/adakah-shafee-terbabit-lanjut-khidmat-raus-dan-zulkefli-soal-anwar/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/15/anwar-mahu-najib-shafee-dedah-akaun-bank/