Sindiket minta komisen sehingga 60% ‘bantu’ keluar simpanan KWSP

Nurini Kassim KWSP

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjaya mengesan satu sindiket penipuan yang giat menyasarkan pencarum terdesak mengeluarkan simpanan dengan mengenakan komisen 30% hingga 60%.

The Star melaporkan sindiket itu mendakwa mereka akan menyediakan sijil diperlukan, seperti perumahan, pendidikan, ketidakupayaan dan kesihatan untuk membantu pencarum tidak layak mengeluarkan simpanan KWSP.

Sindiket berkenaan yang menyalahgunakan logo KWSP di akaun media sosialnya, dipercayai bersubahat dengan beberapa kolej swasta dan doktor untuk memalsukan dokumen bagi tujuan itu.

Malah, ia turut memuat naik beberapa testimoni palsu bagi menunjukkan kejayaan pencarum menerima bayaran bulan dari KWSP.

“Ramai yang memerlukan wang. Bagi mereka yang mempunyai simpanan melebihi RM150,000 dalam akaun KWSP, sila e-mel semua butiran peribadi anda ke [email protected]

“Kebebasan kewangan ada di tangan anda. Mohon dengan kami dan kami jamin permohonan anda akan diluluskan 100%,” menurut iklan yang dimuat naik ke Facebook.

Sindiket itu turut merekrut ejen di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis secara terbuka dengan menjanjikan komisen tinggi jika mempunyai pelanggan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP, Datuk Mohd Naim Daruwish berkata, ia mempunyai sistem komprehensif untuk memeriksa serta mengesan cubaan membuat pengeluaran palsu dan pihaknya akan membuat laporan polis jika mengesyaki berlaku penipuan.

“Kami mahu memberi amaran kepada sindiket sedemikian yang kami tahu helah mereka. Kami berharap ahli tidak akan menjadi mangsa mereka. Ini ialah wang persaraan anda, kenapa perlu serahkannya kepada sindiket?” soalnya sambil menambah KWSP mempunyai jawatankuasa dalaman untuk memantau kes sedemikian dalam talian.

Pada masa sama, beliau menasihatkan pencarum yang layak supaya pergi ke KWSP kerana tiada bayaran akan dikenakan untuk memproses pengeluaran simpanan mereka.

Terdapat 85 kes cubaan membuat pengeluaran palsu dikesan pada 2015, diikuti 152 kes tahun lalu dan 63 kes setakat Jun tahun ini.

Sebanyak 41 daripada 63 kes itu membabitkan pengeluaran untuk perumahan, ketidakupayaan (10 kes) dan masing-masing 6 kes bagi pendidikan dan kesihatan.

Mengikut Seksyen 59 Akta KWSP 1991, mereka yang didapati bersalah membuat pengeluaran palsu boleh dikenakan penjara maksimum 3 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.