Tanya kami dulu, kata Sarawak kepada kerajaan pusat

Douglas-Uggah-Embas-sarawak-flags-benderaKUCHING: Suka atau tidak, sesetengah isu nasional akan menjejaskan corak pengundian di kalangan pengundi Sarawak, kata Datuk Seri Douglas Uggah Embas.

Timbalan ketua menteri Sarawak itu dalam wawancara eksklusif dengan FMT berkata, itu sebabnya kerajaan pusat perlu berunding dengan pemimpin negeri sebelum melaksanakan undang-undang dan dasar yang rakyat Sarawak mungkin tidak bersedia menghadapinya.

“Sesetengah isu yang menarik minat rakyat (Sarawak), lebih baik dan bijak untuk berunding dengan kami terlebih dahulu.

“(Ia) supaya kami boleh menjelaskan kepada mereka (kerajaan persekutuan) kedudukan kami. Kemudian kita boleh mengelak tembak di kaki sendiri,” katanya.

Beliau merujuk pertikaian terbaru berhubung pelaksanaan cukai pelancongan di seluruh negara yang menyaksikan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz menjadi tumpuan.

Rakan sejawatannya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tindakan Nazri menafikan peluang kerajaan negeri berunding mengenai pelaksanaan cukai baharu itu, melanggar semangat perkongsian antara Sarawak, Sabah dan Malaya, seperti digariskan dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Jumaat lalu, Karim dilaporkan berkata, Sarawak dan Sabah akan mengemukakan permohonan bersama kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan pelaksanaan cukai pelancongan ke tahun depan.

Sementara itu, Uggah mengingatkan kerajaan pusat berhubung peristiwa lampau yang terbukti menyebelahi Sarawak.

Ia termasuk kedudukan kerajaan pusat mengenai cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, bagi memperkasakan Mahkamah Syariah.

“Anda boleh lihat bagaimana ia dilakukan ketika mereka cuba membentangkan Akta 355. Di sinilah rundingan secara mendalam perlu dilakukan dan pemimpin tertinggi merasakan mereka perlu mengambil perhatian berhubung isu ini.

“Jadi, jika kita terus berunding dengan satu sama lain, ia akan lebih dihargai rakyat,” katanya.

Rang undang-undang meminda Akta 355 dibawakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke Dewan Rakyat sebagai rang undang-undang persendirian.

Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kerajaan pusat akan mengambil alih dan membentangkan rang undang-undang itu.

Tetapi, selepas bantahan bersama disuarakan pemimpin BN Sarawak, Najib selaku perdana menteri dan pengerusi BN memberitahu media ia akan kekal sebagai rang undang-undang persendirian.