Usahawan berketurunan ‘Pakistan’ tawar diri jadi presiden ‘Melayu’ Singapura

Farid-Khan-Kaim-KhanPETALING JAYA: Ahli perniagaan Singapura, Farid Khan Kaim Khan semalam menyerahkan dokumen kepada Jabatan Pilihan Raya, menawarkan dirinya sebagai calon pilihan raya presiden republik itu yang bakal diadakan September ini.

Farid yang mengetuai syarikat kemudahan laut Bourbon Offshore Asia dengan staf 9,300 pekerja di 45 buah negara itu, bagaimanapun berketurunan Pakistan seperti dicatatkan dalam kad pengenalannya.

Tetapi ia tidak menghalangnya daripada merebut jawatan presiden yang buat pertama kali dikhaskan untuk calon Melayu, dengan berkata ia adalah “demi memenuhi hasrat dan amanah rakyat”.

Menurutnya, masyarakat Melayu dibina daripada pelbagai etnik.

“Saya lahir di perkampungan Melayu di Geylang Serai,” kata Farid, 62, dipetik Channel News Asia, sambil menambah beliau lebih selesa dikaitkan sebagai seorang Melayu daripada bangsa lain.

“Saya hidup dalam masyarakat yang saya cintai. Saya bersekolah dengan mereka, saya berkongsi tangisan dan ketawa dengan masyarakat di perkampungan Melayu.

“Saya menganggap diri saya seorang Melayu dengan asal-usul Pakistan,” kata Farid.

Sebuah “Jawatankuasa Masyarakat” akan membuat keputusan menentukan sama ada seseorang itu berasal daripada sesebuah kumpulan etnik.

Bulan lalu, Salleh Marican, orang di belakang Second Chance, satu-satunya syarikat milik Melayu yang disenaraikan di papan utama pasaran saham Singapura, menawarkan dirinya sebagai calon presiden.

Bagaimanapun, kontroversi tercetus ekoran prestasi bahasa Melayunya dipertikaikan, selepas sebuah klip video wawancara yang belum disunting menunjukkan beliau menghadapi kesukaran bertutur bahasa ibundanya.

“Saya telah… mendang… ini ya? What’s the word, run the company, mendang…,” Salleh dilihat dalam klip itu menghadapi kesukaran bertutur bahasa Melayu, sambil dibantu beberapa wartawan Singapura lain yang memberitahu istilah betul, “mengendalikan”.

Pilihan raya presiden Singapura September ini adalah sesuatu yang unik memandangkan ia diperuntukkan kepada calon dari kalangan orang Melayu, selepas Yusof Ishak menjadi presiden pertama hampir 50 tahun lalu.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong mencadangkan idea itu, yang disusuli dengan pindaan perlembagaan pada November lalu, bagi memastikan perwakilan bersifat pelbagai kaum dalam pejabat presiden.

Jawatan presiden sekadar simbolik dan tidak mempunyai kuasa politik seperti perdana menteri, dan mula dipertandingkan sejak 1993.

https://www.youtube.com/watch?v=ULHCpsClgBw

Bakal calon presiden Singapura berusaha baiki bahasa Melayu