Zuraida anggap dakwaan berkait hutang RM230,000 fitnah, tidak berasas

Zuraida-KamaruddinPETALING JAYA: Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin menyangkal tuduhan beliau menjadi perantara sebuah syarikat swasta untuk menyelesaikan hutang Yayasan Selangor berjumlah RM233,833.

Katanya, dakwaan dibuat NGO bernama Inspirasi Melayu Gombak itu tidak berasas dan berniat jahat dengan hanya merujuk surat layang.

“Ia adalah kenyataan tidak berasas dan tidak rasional. Tambahan pula ia dikeluarkan tanpa bertanggungjawab secara surat layang,” katanya kepada FMT.

Semalam, presiden kumpulan itu, Datuk Zul Azhari Mohamed Juah, mendesak Zuraida dan bekas adun Kajang, Lee Chin Cheh, menjelaskan dakwaan hutang berkaitan Yayasan Selangor.

Zul Azhari berkata kedua-dua pemimpin PKR itu menjadi perantara sebuah syarikat swasta untuk melangsaikan hutangnya dengan Yayasan Selangor, memetik surat layang mendakwa syarikat itu mempunyai hutang berjumlah RM233,833 kerana menyewa 4 premis di sebuah bangunan di Selangor.

Zuraida berkata isu itu hanya melibatkan syarikat terbabit dengan Yayasan Selangor dan anak syarikat kerajaan negeri itu berhak membawa kes tersebut ke mahkamah bagi menuntut hutang tersebut.

“Ini adalah hutang kepada Yayasan Selangor, oleh demikian langsung tak ada isu salah guna wang.

“Terpulang kepada syarikat untuk selesai hutang jika tidak, Yayasan Selangor boleh mulakan tindakan sivil untuk menuntut hutang,” jelas Zuraida yang juga ahli Parlimen Ampang.

NGO desak Zuraida jawab isu hutang RM233,833