Irwan Serigar: Bidaan Bandar Malaysia ditutup 20 Julai

irwan-serigarCYBERJAYA: Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, tarikh tutup bidaan projek Bandar Malaysia ialah Khamis ini.

Pengerusi Bandar Malaysia Sdn Bhd itu berkata, ketika ini, pihaknya masih menerima bidaan untuk projek itu.

“Lepas itu, kita akan kumpul dan kita akan nilai,” katanya selepas sesi dialog TN50 di Auditorium Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), hari ini.

Baru-baru ini, Irwan yang juga ketua setiausaha perbendaharaan dilaporkan berkata, Putrajaya sedang mengintai syarikat gergasi dalam senarai Fortune 500 untuk menerajui pembangunan projek Bandar Malaysia.

“Sudah tentu kami akan meletakkan syarat-syarat tertentu kali ini, seperti hanya (menerima) syarikat berpengalaman luas, mungkin syarikat dalam senarai Fortune 500.

“Akan ada kriteria tertentu, jika mereka memenuhi kriteria, maka mereka boleh menyertai,” katanya dilantik menerajui TRX City dan Bandar Malaysia pada 17 Mei lalu.