Aktivis Bangladesh ditahan di KLIA

Adilur-Rahman-Khan-klia-balai-ketibaanPETALING JAYA: Sebuah kumpulan hak asasi manusia membidas penahanan seorang aktivis Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini.

Adilur Rahman Khan ditahan pegawai imigresen di KLIA kira-kira 4 pagi tadi. Beliau ialah setiausaha Odhikar, sebuah NGO hak asasi manusia di Bangladesh.

Beliau datang ke malaysia untuk menghadiri sebuah persidangan bertajuk “Pemansuhan hukuman mati”.

“Suara Rakyat Malaysia (Suaram) membidas penahanan Adilur Rahman Khan.

“Setakat 10 pagi tadi, tiada alasan diberikan pegawai imigresen berhubung penahanan itu. Bagaimanapun, Suaram dimaklumkan Khan dipindahkan ke lokap imigresen,” kata Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy menerusi satu kenyataan.

NGO itu menggesa pihak berkuasa membebaskan Khan dan menamatkan “gangguan berterusan ke atas pembela hak asasi manusia yang mengunjungi Malaysia”.

Ini tindakan terbaru kerajaan Malaysia ke atas aktivis hak asasi manusia dari negara lain.

Awal bulan ini, Amnesty International (AI) menyuarakan kebimbangan terhadap sekatan Malaysia ke atas pembela hak asasi manusia Singapura, Han Hui Hui memasuki negara ini, bulan lalu.

Han dilarang memasuki Malaysia selepas dilabelkan menteri dalam negeri sebagai “pendatang tidak dikehendaki”.

“AI mendapat ia bukan kali pertama kerajaan menyekat aktivis keamanan masuk ke Malaysia.

“Beberapa tahun ini, aktivis politik dari Hong Kong, Joshua Wong dan aktivis hak asasi manusia dari Indonesia, Mugiyanto Sipin juga dilarang memasuki Malaysia.”