Despacito: Wanita Amanah nafi cuba jadi polis moral

bendera-amanah-despacitoPETALING JAYA: Wanita Amanah mencadangkan kerajaan menyediakan satu platform untuk memudahkan orang ramai memberi maklum balas atau aduan berhubung isi kandungan karya seni yang bertentangan garis panduan radio dan televisyen negara ini.

Ia susulan tindakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia menghentikan penyiaran lagu popular dengan lirik berunsur lucah, Despacito di semua stesen radio dan televisyen milik Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta-merta, mulai semalam.

Sayap parti pembangkang itu bagaimanapun menafikan mereka cuba menjadi “polis moral” dengan mendesak pihak berkuasa mengharamkan penyiaran Despacito, semalam.

Mereka bersyukur dan memuji pelbagai lapisan masyarakat yang membuat aduan berhubung lagu itu sehingga menyaksikan pengharaman lagu itu yang mendapat sambutan hangat di seluruh dunia dengan pelbagai lagu parodi berlirik alternatif yang “lebih murni” muncul.

“Satu perkara yang perlu ditegaskan juga adalah masyarakat dalam negara ini bukan anti-hiburan dengan bertindak demikian, tetapi kami tidak mahu unsur-unsur tidak sihat dibiarkan menular dan menjadi kebiasaan serta gaya hidup generasi muda hari ini.

“Tuduhan langkah pencegahan ini sebagai cubaan menjadi ‘moral police’ juga tidak tepat, apatah lagi kami dan pengadu memilih penyelesaian lebih harmoni dan ramah tanpa sebarang kekerasan atau keganasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wanita Amanah berkata, mereka kesal lagu antarabangsa itu menjadi siulan anak muda tanpa mengetahui maksud sebenar liriknya.

Semalam, Salleh dilaporkan berkata, panel penilai RTM menarik balik kelulusan siaran lagu berbahasa Sepanyol itu selepas menerima aduan orang ramai.

Bagaimanapun, katanya, lagu itu masih boleh didapati melalui saluran lain, khasnya dalam talian dan meminta stesen radio dan televisyen di negara ini lebih sensitif terhadap norma tempatan dengan menapis sendiri lagu yang hendak disiarkan mereka, sama ada menghentikan siarannya atau memotong sebahagian audio lagu itu.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mencadangkan kerajaan turut mengguna pakai amalan menapis filem ke atas lagu, khasnya yang berbahasa asing.

“Jika ada lagu unsur lucah, mungkin industri muzik patut mengesahkan lagu itu seperti cara menapis filem dari luar negara.

“Industri muzik perlu mengkaji ini, terutamanya apabila lagu dalam bahasa lain yang kami tidak faham untuk memastikan lagu itu sesuai didengari umum,” katanya pada sidang media bersama Wanita Pakatan Harapan di ibu pejabat DAP hari ini.

Ketua Wanita Amanah, Dr Siti Mariah Mahmud pula menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memantau lagu yang disiarkan stesen radio tempatan seperti kerajaan memantau filem asing.

“Kami tidak melarang orang lain mendengar lagu itu sebab kita ada ruang peribadi. Tetapi, jika untuk umum, perlulah ada tapisan dan pantauan. Ini kerana ada anak kecil yang mendengar lagu jenis itu,” kata ahli Parlimen Kota Raja itu.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/19/kementerian-haramkan-despacito-berlirik-lucah/