PH gesa meningkatkan had umur perkahwinan gadis Islam kepada 18 tahun

zuraida-kahwin1KUALA LUMPUR: Wanita Pakatan Harapan (PH) hari ini menggesa kerajaan meningkatkan had umur minimum perkahwinan kanak-kanak perempuan Islam kepada 18 tahun, sama seperti had umur perkahwinan kanak-kanak lelaki Islam.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mempersoalkan dasar membenarkan kanak-kanak perempuan semuda 16 tahun berkahwin.

“Kenapa perlu begitu?” soalnya.

“Kami bersama untuk meningkatkan had umur perkahwinan untuk gadis perempuan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP.

Katanya, ia akan menjamin kualiti perkahwinan, cara didikan yang sempurna dan kehidupan yang berkualiti.

Di bawah Enakmen Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri, usia minimum bagi lelaki adalah 18 tahun manakala bagi ­perempuan adalah 16 tahun.

Perkahwinan mereka yang lebih muda daripada itu perlu mendapatkan kebenaran mahkamah dan persetujuan ibu bapa.

Manakala bagi bukan Islam, Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) menetapkan 18 tahun usia minimum perkahwinan, dan mereka yang berusia 16-18 tahun perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada ketua menteri dan mahkamah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata isu perkahwinan gadis bawah umur ini bukan remeh.

Menurutnya, kesan perkahwinan bawah umur adalah negatif seperti dari segi kesihatan mental dan fizikal di samping membataskan taraf pendidikan, ekonomi.

Ia juga meningkatkan risiko penderaan domestik dan seksual, katanya.

Hampir 9,000 perkahwinan bawah umur berlaku dalam tempoh 5 tahun antara 2010 dan 2015.

Daripada jumlah itu, 6,268 ialah penganut Islam dan 2,775 bukan Islam.