PKR beri tempoh 1 minggu kepada 1,600 ‘hantu’ di Wangsa Maju

Tan-Yee-KewPETALING JAYA: PKR hari ini memberikan tempoh seminggu kepada sejumlah 1,609 pengundi baharu dan yang dipindahkan ke kawasan Parlimen Wangsa Maju, menuntut penjelasan bagaimana mereka menggunakan alamat bertindih, termasuk berkongsi dengan lebih 30 pengundi lain yang berbilang bangsa.

“Jika gagal, kami akan menerbitkan nama mereka dan melaporkan kepada polis,” kata Bendahari PKR, Datin Paduka Tan Yee Kew dalam sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini, yang turut dihadiri Naib Presiden Nurul Izzah Anwar.

Tan berkata angka itu mewakili sepertiga daripada jumlah pengundi baharu ketika pemeriksaan dibuat dari Julai hingga Disember tahun lepas.

Pemeriksaan yang dilakukan dengan kerjasama Malaysian Electoral Roll Analysis Project (Merap) itu susulan angka “luar biasa” pengundi yang didaftarkan dan dipindahkan ke Wangsa Maju.

Menurutnya, sehingga Mac 2017, kawasan Parlimen itu menerima 13,400 pengundi, iaitu 7,400 pengundi baharu dan 6,000 yang menukar alamat, dalam tempoh 9 bulan sejak Julai 2016.

Tan berkata 80% daripada pemilik rumah tidak tahu menahu mengenai pengundi yang didaftarkan menggunakan alamat mereka, manakala beberapa rumah yang dikunjungi didapati sama ada kosong atau dikunci.

Wangsa Maju kini disandang PKR yang dimenangi Datuk Tan Kee Kwong dengan majoriti lebih 5,000 undi pada pilihan raya umum ke-13 lalu.

Pada 2013, ia mempunyai jumlah pengundi berdaftar 67,775.

Antara penemuan PKR dan Merap ialah terdapat 222 unit rumah di mana berlaku bilangan pengundi yang menggunakan alamat sama, termasuk pengundi berbilang kaum dalam rumah sama.

“Ada yang melebihi 30 pengundi dalam satu unit flat,” katanya, yang berkata pemeriksaan dilakukan melibatkan 4 daerah mengundi iaitu Taman Melati, Seksyen 1 Wangsa Maju, Gombak Utara dan Wangsa Melati, di antara Julai dan Disember 2016.