Salleh: Peneroka Felda sokong BN ialah fakta, bukan mimpi

salleh-keruak-peneroka-feldaCYBERJAYA: Seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) hari ini mempertahankan kenyataannya parti pemerintah akan terus mendapat sokongan majoriti peneroka Felda pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Bendahari Umno, Datuk Seri Salleh Said Keruak mengulas amaran Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya BN tidak bermimpi Felda masih menjadi kubu kuat mereka.

Salleh berkata, perkiraan BN masih mendapat sokongan peneroka Felda bukan berdasarkan cakap kosong, sebaliknya ia adalah fakta.

“Sepertimana yang saya katakan majoriti peneroka Felda masih menyokong BN berdasarkan angka-angka yang kita perolehi.

“Saya bercakap ini berdasarkan fakta, bukannya andaian semata-mata,” kata menteri komunikasi dan multimedia itu selepas menghadiri majlis pelancaran drama bersiri yang dijayakan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini.

Semalam, Salleh dilaporkan berkata, hasrat Pakatan Harapan bertapak di Felda dengan memenangi kerusi di kawasan itu pada PRU14 adalah angan-angan kerana peneroka mempunyai keyakinan begitu tinggi terhadap kerajaan BN sekarang.

Ini kerana, katanya, peneroka Felda menyedari kerajaan BN yang ditunjangi Umno adalah parti pemerintah terbaik untuk mengurus negara serta amat berjasa, khususnya membantu orang Melayu dan secara konsisten memberi bantuan kewangan dan subsidi, bonus tahunan, menjaga kebajikan serta pelbagai bantuan lain kepada peneroka Felda.

Susulan itu, Muhyiddin berkata, maklum balas yang diterima daripada peneroka Felda agak baik terhadap Pakatan Harapan.

“Sambutan diberikan banyak peneroka di tanah rancangan (Felda) kepada Pakatan Harapan, termasuk PPBM agak hebat…disebabkan itu pasti satu daripada kawasan tumpuan adalah tanah rancangan Felda,” kata presiden PPBM itu.

Muhyiddin: Jangan mimpi Felda masih kubu kuat BN

Salleh: Peneroka Felda setia sokong Umno