SPRM pilih pengarah terkenal bikin drama anti-rasuah

sprm_movie

CYBERJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memilih pengarah terkenal Ghaz Abu Bakar untuk membikin drama aksi anti-rasuah dalam usaha mendidik masyarakat mengenai kemudaratan rasuah.

“Ini sebahagian daripada usaha SPRM dalam gerakan revolusi anti-rasuah,” kata Ketua Pesuruhjaya Datuk Dzulkifli Ahmad kepada pemberita selepas majlis pelancaran drama itu di Cyberjaya hari ini.

Drama bersiri “Banteras” dengan 13 episod itu merupakan kolaborasi antara SPRM dan syarikat produksi Fantasy Films Sdn Bhd bakal ditayangkan di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Dibarisi pelakon tempatan terkenal seperti Namrom, Khir Rahman dan Sangeetha, drama ini mengambil ilham daripada kisah benar operasi SPRM menangkap perasuah.

“Ini merupakan aktiviti yang kita jalankan dan akan ada aktiviti lain di bawah gerakan revolusi anti-rasuah,” katanya.

Turut hadir di majlis pelancaran itu Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki.