Tiada kebebasan akademik di universiti tanpa autonomi

ali-salman-ideas-4

PETALING JAYA: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) seru dasar yang memberi autonomi pentadbiran kepada universiti awam, bagi membolehkan kebebasan akademi di institusi pengajian tinggi awam.

“Ketika ini, universiti kita tidak bebas untuk membuat keputusan dalam perkara mengenai tadbir urus, kewangan dan kemasukan,” kata Pengarah Penyelidikan Ideas Ali Salman.

“Pengambilan naib canselor, merangka belanjawan universiti dan menentukan bilangan pelajar dan profil tertakluk kepada kawalan Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Lebih bergantung universiti itu kepada institusi lain, semakin dipersoalkan integriti ilmu yang dihasilkan. Untuk melindungi kebebasan akademik, autonomi sebenar harus diberikan kepada universiti,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kebebasan akademik amat bergantung kepada autonomi universiti. “Apabila universiti diberi hak pentadbiran sendiri, ahli akademi dilindungi dari pengaruh kepentingan pihak luar,” katanya.

Ali mengulas kajian Ideas mengenai keperluan universiti dibebaskan dari campurtangan politik.

Dalam kajian yang bertajuk “Sejarah dan Epistemologi Universiti” yang diterbitkan 11 Julai, Prof Madya Munif Zarirruddin Fikri Nordin di Kolej Seni dan Sains Universiti Utara Malaysia menyentuh sam ada universiti tempatan sudah tersimpang dari peranan sebagai pusat pengetahuan dan platform wacana terbuka.

Ali berkata pembangunan intelek, budaya dan ekonomi negara dipacu perbincangan pendapat secara terbuka, di mana para ahli akademi berada di tengah-tengah dialog seperti itu.

“Universiti harus menjadi tempat pembiakan untuk penerokaan dan perbahasan idea. Kebebasan individu untuk bercakap tanpa takut harus diberi kepada ahli akademi dan juga pelajar,” katanya.

“Dengan cara ini, usaha mencari fakta, konsep dan pengetahuan yang sebenar tidak akan berisiko,” tambahnya.

Pada 20 Jun lalu, Ideas menerbitkan laporan mengenai kajian “Sejarah Autonomi Universiti di Malaysia” yang mendapati meskipun memiliki status rasmi, kebebasan universiti awam dihadkan kerana kebergantungan kepada peruntukan dana dan geran penyelidikan dari kerajaan.

Laporan itu turut mendapati universiti swasta yang tidak bergantung kepada sokongan kewangan dari kerajaan juga tertakluk kepada keperluan yang diluar batasan undang-undang.

Ketua Eksekutif Ideas Wan Saiful Wan Jan berkata dapatan laporan itu mempertikaikan keazamaan kerajaan memastikan autonomi di institusi pengajian tinggi.