Tingkatkan had umur perkahwinan sahaja tidak cukup, kata PAS

Mahfodz-Mohamed-pengantin-baru-perempuanPETALING JAYA: Dewan Ulama PAS berkata pada dasarnya setuju dengan cadangan Wanita Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan meningkatkan had umur minimum perkahwinan kanak-kanak perempuan Islam kepada 18 tahun, menyifatkan langkah sebagai munasabah.

Ketua Dewan Ulama Datuk Mahfodz Mohamed berkata, ini kerana pasangan yang berkahwin bawah had umur masa kini cenderung tidak memahami tentang hak dan tanggungjawab suami isteri.

Tetapi, Mahfodz juga mencadangkan had umur semata-mata tidak boleh dijadikan ukuran dalam menentukan baik buruk had umur tertentu.

“Kalau dia umur lebih 18 atau 21 tahun tetapi jika tidak diajar mengenai tanggungjawab dalam keluarga dan tidak cukup kursus mengenai rumahtangga juga tidak guna.

“Naikkan had umur perkahwinan sahaja tidak cukup jika kurang penghayatan dalam hubungan kekeluargaan. Mereka mesti diberikan ilmu tentang perkahwinan sebelum berkahwin,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas gesaan Wanita PH menggesa kerajaan meningkatkan had umur minimum perkahwinan perempuan Islam kepada 18 tahun, sama seperti had umur minimum lelaki Islam.

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin mempersoalkan dasar sedia ada yang membenarkan perempuan semuda 16 tahun berkahwin.

“Kenapa perlu begitu?” soalnya, dan menambah had umur minimum 18 tahun akan lebih menjamin kualiti perkahwinan, didikan sempurna dan kehidupan berkualiti.

Mahfodz berkata meskipun had umur 16 dan 18 tahun itu nampak tidak jauh jauh berbeza, beliau menggesa kajian perlu lebih banyak dilakukan dalam menilai kematangan mereka yang mahu berkahwin pada usia muda, tidak kira perempuan atau lelaki.

“Kalau lelaki sebagai ketua keluarga perlu lebih matang dan bertanggungjawab, manakala wanita pula perlu tahu peranannya dalam keluarga,” katanya.

Di bawah Enakmen Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri, usia minimum bagi lelaki adalah 18 tahun manakala bagi ­perempuan adalah 16 tahun.

Perkahwinan mereka yang lebih muda daripada itu perlu mendapatkan kebenaran mahkamah dan persetujuan ibu bapa.

Manakala bagi bukan Islam, Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) menetapkan 18 tahun usia minimum perkahwinan, dan mereka yang berusia 16-18 tahun perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada ketua menteri dan mahkamah.

Pakatan Harapan berpendirian perkahwinan bawah umur mengundang kesan negatif dari segi kesihatan mental dan fizikal di samping membataskan taraf pendidikan dan ekonomi.

Ia juga meningkatkan risiko penderaan domestik dan seksual, katanya.

Hampir 9,000 perkahwinan bawah umur berlaku dalam tempoh 5 tahun antara 2010 dan 2015.

Daripada jumlah itu, 6,268 ialah penganut Islam dan 2,775 bukan Islam.