Bantah tapi setuju, DAP adakan semula pemilihan CEC

dap-cecPUTRAJAYA: DAP hari ini bersetuju mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusatnya (CEC) seperti diarahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM), tetapi berkata ia mempunyai hak mencabar arahan itu.

Dalam suratnya kepada Ketua Pengarah JPPM, Datuk Mohammad Razin Abdullah, Naib Pengerusi DAP Teresa Kok berkata parti itu tidak ada pilihan melainkan melaksanakan arahan JPPM itu kerana pilihan raya umum yang semakin hampir.

“Memandangkan keputusan ini diberi kepada kami pada waktu di mana PRU14 mungkin akan diadakan pada bila-bila masa, maka DAP bersedia untuk mengadakan pemilihan semula jawatankuasa tertinggi (CEC) di bawah protes dan tanpa menjejaskan sebarang hak kami untuk mengambil tindakan perundangan sekiranya perlu, pada bila-bila masa,” kata Kok, yang menandatangani surat itu sebagai setiausaha organisasi kebangsaan DAP, jawatan yang dipegangnya sehingga 2012, iaitu sebelum pemilihan DAP yang pertama kali diisytiharkan tidak sah.

Dalam suratnya, DAP mempertikaikan dakwaan parti itu mempunyai 865 cawangan yang layak hantar wakil ke kongres tahunan pada Disember 2012.

Menurutnya, angka itu merupakan pembohongan oleh seorang “penulis rekaan” bernama Father Augustus Chen, yang dipetik Utusan Malaysia dalam laporannya sehingga mengundang sama malu menyebabkan akhbar itu terpaksa membayar gantirugi RM250,000 pada 2014.

“Soalannya ialah, kenapakah ROS membuat keputusan berdasarkan satu laporan yang disahkan Mahkamah sebagai rekaan dan palsu?” soalnya.

Menurut DAP, setakat hari pemilihan semula pada 29 September 2013, parti itu memberi notis kongres kepada 985 cawangan. termasuk 751 yang mempunyai hak mengundi.

Sebelum ini, Razin berkata sebahagian perwakilan DAP tidak diberikan peluang menghadiri kongres tahunan parti itu.

Dua hari lalu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata parti itu tidak gentar mengadakan pemilihan semula kerana penggal CEC yang dipilih pada 2013 akan tamat.

Kemelut JPPM dan DAP bermula 4 tahun lalu pada April 2013, iaitu beberapa minggu sebelum pilihan raya umum, apabila parti itu diberitahu barisan kepimpinan yang dilantik pada 2012 adalah tidak sah.

Ia memaksa DAP mengadakan pemilihan semula pada September 2013.

Baru-baru ini, isu itu timbul sekali lagi selepas Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin membayangkan parti itu masih belum menyelesaikan status kepimpinannya dengan JPPM.